Pemergian Yang Penuh Misteri, Ini Kisah Isdal Woman Yang Menjadi Tanda Tanya Sehingga Sekarang

Kisah ini berlaku pada 29 November 1970 pada pukul 1.15 petang. Seorang pensyarah universiti bersama dua orang lagi anak perempuannya sedang mendaki gunung Ulriken di Isdalen Valley yang bertempat di Begen, Norway.

Sewaktu mendaki, mereka dengan tidak sengaja telah menemui mayat seorang perempuan dalam keadaan tidak berpakaian di celah-celah batu.

Seorang anggota polis yang terlibat, Carl Harvor Aas, berkata setibanya mereka di sana, mereka dapat menghidu bauan hangus yang kuat. Selain itu, mereka juga melihat mayat perempuan yang tidak diketahui identiti itu berada dalam keadaan hangus hanya pada bahagian depan sahaja terutama sekali di bahagian muka dan rambut mangsa.

Anehnya, pada bahagian kulit badan belakangnya pula langsung tidak ada kesan hangus dan kecederaan yang berlaku.

Posisi mangsa ketika dijumpa juga dalam keadaan tangan di dada seperti gaya seorang peninju.

Di samping itu, beberapa barangan peribadi mangsa juga ditemui di tempat kejadian antaranya ialah barang kemas, jam tangan, payung dan beberapa botol plastik. Barang-barang tersebut dikatakan mungkin sengaja diletakkan di sebelah mayat mangsa.

Oleh kerana identiti mangsa tidak dapat dikesan, mangsa tersebut digelar sebagai ‘Isdal Woman’.

Beberapa hari kemudian selepas penemuan mayat mangsa, satu bukti penting telah dijumpai oleh pihak polis. Bukti tersebut ialah dua beg tangan milik mangsa ditemui di stesen kereta api Norwegian State Railways (NBC).

Beg tersebut mengandungi pakaian, rambut palsu, wang kertas yang bermata wang Jerman dan Norway, duit syiling yang bermata wang Belgium, British dan Sweden, sikat serta berus rambut, alat kosmetik, sudu teh dan krim kulit untuk ekzema.

Lebih mengelirukan, kesemua barang tersebut telah dicabut label jenama dan juga label yang mengandungi nama doktor dan pesakit di ubat kulit ekzema. Ini menyebabkan keraguan timbul apabila meneliti kembali motif sebenar pelaku.

Menerusi penemuan poskad di dalam bagasi mangsa, polis telah menahan seorang jurugambar warganegara Itali untuk mendapatkan keterangan. Jurugambar tersebut mengakui dia pernah keluar bersama mangsa untuk makan malam tetapi selain daripada identiti mangsa sebagai peniaga barang-barang antik dari Afrika Selatan, tidak banyak maklumat lain diketahui.

Pada masa yang sama, penemuan sembilan passport palsu dengan identiti berbeza menunjukkan bahawa mangsa telah menjelajah ke serata Norway dan beberapa buah negara Eropah yang lain. Antara identiti yang digunakan ialah Jenevive Lancia, Claudia Tielt, Vera Schlosseneck, Claudia Nielsen, Alexia Zarna-Merchez, Vera Jarle, Finella Lorck dan Elizabeth Leen Hoywfer.

Berikut adalah ringkasan kronologi pergerakan mangsa berdasarkan catatannya sendiri di dalam buku nota:

20 Mac 1970: Mangsa bergerak dari Geneva ke Oslo.

21 – 24 Mac 1970: Mangsa menginap di Hotel Viking di Oslo menggunakan nama Genevieve Lancier.

Sumber: BBC

24 Mac 1970 : Mangsa terbang dari Oslo ke Stavanger, menaiki bot ke Bergen, kemudian bermalam di Hotel Bristol dengan menggunakan nama Claudia Tielt.

Sumber: BBC

25 Mac – 1 April 1970: Mangsa menginap di hotel Skandia di Bergen, kekal sebagai identiti Claudia Tielt.

Sumber: BBC

1 April 1970: Mangsa bergerak dari Bergen ke Stavanger, dan kemudian ke Kristiansand, Hirtshals, Hamburg and Basel, Jerman.

3 Oktober 1970: Mangsa bergerak dari Stockholm, Sweden ke Oslo, Norway, dan kemudian ke Oppdal, Norway, sebuah resort ski popular.

22 Oktober 1970: Mangsa menginap di hotel Altona di Paris.

23 Oktober – 29 Oktober 1970: Mangsa bermalam di Hotel de Calais di Paris, Perancis.

29 Oktober – 30 Oktober 1970: Mangsa bergerak dari Paris ke Stavanger dan kemudian ke Bergen, Norway.

30 Oktober – 5 November 1970: Mangsa daftar masuk ke hotel Neptune menggunakan nama Alexia Zerner-Merches dan berjumpa dengan seorang lelaki di hotel.

Sumber: BBC

6 November – 9 November 1970: Mangsa bergerak ke Trondheim, Norway, dan bermalam di Hotel Bristol menggunakan nama Vera Jarle.

9 November 1970: Mangsa bergerak ke Oslo dan kemudian ke Stavanger untuk bermalam di Hotel St. Svitun menggunakan nama Fenella Lorch.

18 November 1970: Mangsa menaiki bot Vingtor Bergen dan bermalam di hotel Rosenkrantz menggunakan nama Elisabeth Leenhower dari Belgium.

Sumber: BBC

19 November – 23 November 1970: Mangsa bermalam di hotel Hordaheimen dan meluangkan masa di dalam bilik sepanjang penginapan.

23 November 1970 – Mangsa meninggalkan hotel pada awal pagi, membuat pembayaran secara tunai dan menuju ke stesen kereta api di mana dia menyimpan dua buah bagasi di tempat simpanan.

29 November 1970 – Ditemui di Isdalen.

Beberapa keterangan daripada pekerja hotel yang pernah bersemuka dengan mangsa diterima, mangsa dikenal pasti sebagai seorang wanita tinggi dalam lingkungan usia 30 ke 40 tahun, seorang yang pandai bergaya dan merokok.

Pemeriksaan autopsi mendapati mangsa telah meninggal dunia akibat kombinasi racun karbon monoksida serta menelan pil tidur secara berlebihan.

Malah, pemeriksaan paru-paru juga mendapati mangsa masih lagi dalam keadaan hidup sewaktu dibakar. Beberapa teori mengatakan mangsa telah didera dan diseksa sebelum dibiarkan mati. Tiada juga data menunjukkan beliau hamil ataupun pernah mempunyai anak.

Oleh kerana tiada bukti yang kukuh tentang punca sebenar kematian Isdal Woman itu, pihak atasan telah klasifikasikan ia sebagai membunuh diri. Hal ini membuatkan ramai pihak tidak berpuas hati.

Berdasarkan maklumat yang disimpulkan melalui kekerapan pertukaran tempat penginapan, tulisan kod pada nota dan rambut palsu ia menyakinkan orang ramai bahawa mangsa tersebut ialah seorang pengintip.

Sehingga kini, kes ini masih lagi menjadi tanda tanya dan identiti wanita tersebut masih lagi belum dapat dikenal pasti.

Untuk membaca artikel lain berkenaan misteri dan kriminal di seluruh dunia, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca