Pemergian Kucing Jalanan Bernama Bob Diratapi Peminat Seluruh Dunia

Seekor kucing yang menjadi sumber inspirasi sebuah buku bertajuk ‘A Street Cat Named Bob’ yang diilhamkan oleh pemiliknya, James Anthony Bowen, telah meninggal dunia pada usia 14 tahun.

Kucing jalanan itu mula terkenal apabila telah menyelamatkan seorang gelandangan iaitu tuannya sendiri, James Bowen dan telah mengubah kehidupannya menjadi lebih baik. Sebelum bertemu dengan Bob, James Bowen menghadapi masalah ketagihan dadah.

James kemudiannya menulis satu siri buku mengenai hubungan mereka, iaitu A Street Cat Named Bob yang menjadi hit di seluruh dunia dan telah dijadikan filem pada tahun 2016.

Ia kekal menjuarai carta senarai teratas buku terlaris di akhbar ‘The Sunday Times’ selama 76 minggu berturut-turut.

Menurut James, Bob telah menyelamatkan nyawanya dan memberi sebuah persahabatan yang cukup bermakna. Walaupun Bob hanya seekor kucing, Bob membantunya menemui arah dan tujuan hidupnya yang pernah hilang pada suatu ketika dahulu.

“Semasa dia berada di sisi saya, saya menemui jalan dan tujuan untuk hidup yang selama ini telah hilang. Kami mengecapi kejayaan bersama melalui buku dan filem yang cukup menakjubkan.

“Dia bertemu dengan ribuan orang, memberi harapan kepada jutaan orang, Bob tiada pengganti dan tiada kucing sepertinya, tidak akan ada.

“Saya rasa kehilangan dan saya tidak akan sekali melupakannya,” katanya.

Sejak pertama kali bertemu Bob, mereka seperti tidak dapat dipisahkan apabila James sering membawa kucing tersebut ketika dia bermain muzik jalanan dan menjual buku The Big Issue di London.

Untuk rekod, A Street Cat Named Bob: And How He Saved My Life diterbitkan pada tahun 2012 dan sejak itu terdapat lima lagi buku yang dikeluarkan dengan lebih daripada 40 bahasa yang berbeza. Filem kedua iaitu A Gift From Bob juga akan menampilkan kucing tersebut dan akan ditayangkan pada hujung tahun ini.

Untuk membaca artikel lain berkaitan kucing, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca