Membunuh Demi Jaga Maruah, Ini Jenayah Menakutkan Yang Menghantui Kaum Wanita Di Timur Tengah

Selalunya jenayah bunuh demi mempertahankan maruah ini sering menyasarkan kaum wanita. Si perancang dan pelakunya pula merupakan kaum lelaki ahli keluarga mangsa sendiri. Kedengaran kejam tetapi ini adalah realiti kehidupan sesetengah masyarakat di Timur Tengah.

Sebagai masyarakat yang berpegang teguh terhadap sistem patriaki, segala aktiviti kaum wanita akan diperhatikan secara teliti. Maruah seorang wanita menjadi tanggungjawab kaum lelaki bermula daripada bapa, adik atau abang dan suami.

Mangsa pembunuhan demi maruah ini selalunya dikatakan telah melakukan ‘perkara seksual yang melampau’ seperti bercakap dengan mana-mana lelaki bukan mahram, menolak perkahwinan yang dirancang keluarga dan telah melakukan hubungan intim di luar perkahwinan.

Walaupun mangsa pernah dirogol atau dicabul, mereka tetap akan menjadi sasaran kerana telah mencemarkan nama baik keluarga. Selain itu, ada juga wanita yang dibunuh kerana bercerai walaupun perkara itu dilakukan kerana suaminya seorang pendera. Ironinya, pembunuhan ini turut disokong oleh kaum wanita dalam keluarga dan mereka bersedia membantu melakukan jenayah ini.

Menurut statistik, seramai 5,000 wanita dibunuh setiap tahun dengan alasan ia dilakukan atas dasar mempertahankan maruah. Namun, United Nations Population Fund percaya bahawa bilangan mangsa mungkin lebih dari itu.

Secara majoriti, jenayah ini berlaku di beberapa kawasan di Timur Tengah dan Selatan Asia. Separuh daripada kes ini dipercayai berlaku di India dan Pakistan. Walaupun wanita menjadi sasaran utama, kaum lelaki turut menjadi mangsa.

Salah seorang daripada mangsa jenayah ini, Karar Nushi, seorang model lelaki warga Iraq dibunuh dengan kejam kerana rupanya. Ketika ditemui di Jalan Palestine di Baghdad, badan Karar dipenuhi kesan tikaman.

Karar merupakan seorang pelajar di sebuah institusi seni halus. Lelaki ini merupakan seorang pelakon dan peragawan. Rakan-rakan Karar percaya bahawa dia dibunuh oleh golongan radikal Islam kerana cara lelaki itu berpakaian, rambutnya yang panjang dan persahabatannya dengan beberapa pelakon wanita. Karar turut didakwa merupakan seorang homoseksual kerana hubungannya yang baik dengan kaum wanita.

Pembunuhan yang berlaku terhadap Karar ini dikategorikan sebagai pembuhuhan demi maruah. Namun, ada sesetengah individu yang mendakwa Karar merupakan mangsa jenayah kebencian yang menyasarkan komuniti LGBTQ. Kes pembunuhan ini masih dalam siasatan polis.

Karar Nushi bukan merupakan kaum lelaki yang menjadi mangsa tunggal golongan radikal ini. Pada tahun 2016, militan ISIS dilaporkan telah menolak seorang lelaki yang dituduh sebagai homoseksual dari sebuah bangunan di Iraq.

Pihak berkuasa telah melaksanakan beberapa undang-undang untuk mengharamkan jenayah ini. Walau bagaimanapun, ia masih lagi berleluasa di kawasan pedalaman berikutan mendapat sokongan tinggi daripada penduduk kampung. Menjadi kebiasaan apabila terjadi pembunuhan demi maruah ini di kampung, ia akan dilaporkan sebagai kes kemalangan biasa.

Di Jordan, jenayah pembunuhan demi maruah ini akan dihukum dengan hukuman yang minima. Seorang peguam sebelum ini telah mencuba untuk memansuhkan undang-undang Artikel 76 itu tetapi mendapat tentangan hebat oleh beberapa kumpulan. Bantahan itu menyebabkan usaha tersebut terpaksa ditangguhkan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca