Pembukaan Semula Sekolah Akan Dinilai Dalam Tempoh 4 Minggu Ini

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal mengemukakan cadangan kepada pihak kerajaan untuk membuka semula sektor sosial termasuklah sekolah selepas menilai situasi semasa dalam tempoh dua sehingga empat minggu ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, hal ini demikian kerana kementeriannya perlu melihat terhadap situasi semasa apabila sektor ekonomi telah dibuka sepenuhnya bermula Rabu.

“Kita buka dahulu sektor ekonomi dan dalam masa yang sama kita harap dapat pantau situasi semasa.

Dalam tempoh dua minggu atau empat minggu (sebelum tentukan sekolah dibuka,) kita akan kemukakan cadangan kepada kerajaan untuk buka sektor sosial dan ekonomi,” kata Datuk Dr. Noor Hisham.

Beliau berkata demikian semasa disoal sama ada sekolah akan dibuka selari dengan kelonggaran yang diberikan kepada sektor ekonomi buat masa ini.

Kata beliau, KKM perlu meneliti kesemua aspek sebelum mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi memastikan rantai wabak COVID-19 dapat ditamatkan sepenuhnya.

Dalam perkembangan yang sama, Datuk Dr. Noor Hisham turut memberitahu bahawa KKM juga sedang meneliti prosedur operasi standard (SOP) bagi memberi kelonggaran kepada aktiviti sukan.

Difahamkan, kelonggaran tersebut cuma tertumpu kepada aktiviti sukan yang tidak dilakukan secara berkumpulan seperti joging.

“SOP itu akan dibuat mengikut garis panduan KKM seperti perlu ada penjarakan sosial, tiada perhimpunan ramai dan sebagainya.

Jadi, inilah sebahagian daripada tahap secara berperingkat yang sedang kita lihat dengan lebih teliti dan akan diumumkan nanti,” kata beliau.

Untuk baca artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca