Pembelian Panik, Balik Kampung Punca PKP Dipanjangkan – Dr. Hanafiah Bashirun

Semalam, Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat pengumuman untuk melanjutkan lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 hari susulan kes jangkitan wabak Koronavirus baharu (COVID-19) di negara ini tidak menunjukkan perubahan yang positif.

Pakar Kesihatan Awam, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, antara punca mengapa tempoh PKP dipanjangkan oleh kerajaan adalah kemungkinan jumlah pesakit akan bertambah ekoran pembelian panik dan tindakan pulang ke kampung secara besar-besaran yang berlaku sebelum 18 Mac lalu.

“Setakat ini, corak kes baharu setiap hari ada naik dan turunnya. Namun begitu, ia masih belum benar-benar menunjukkan penurunan. Disebabkan itu, jika PKP tamat pada 31 Mac seperti yang diumumkan sebelum ini, dikhuatiri jumlah kes baharu akan meningkat.

“Oleh itu, kita mahu jumlah kes baharu menjelang 14 April yakni tarikh lanjutan PKP nanti adalah satu digit atau kosong,” katanya ketika ditemu bual pihak Sinar Harian.

Tambah Dr. Hanafiah lagi, jika jumlah kes baharu masih tidak menunjukkan penurunan dan rakyat Malaysia masih berdegil, kemungkinan besar kerajaan akan meneruskan tempoh PKP sehingga keadaan benar-benar selamat.

“Kita perlulah patuhi arahan pihak berkuasa dan duduk di rumah. Apa yang terjadi di Itali adalah pengalaman pahit. Meskipun negara itu mempunyai sistem kesihatan yang terbaik, mereka juga tidak mampu lagi menanggung jumlah pesakit yang terlalu ramai.

“Fakta ini kita perlu terima. Saya tidak mahu senario yang berlaku di Itali terjadi di Malaysia. Habis kita jika ia menjadi kenyataan,” katanya.

Justeru, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mematuhi arahan kerajaan dan duduk di rumah. Meskipun sukar kerana sifat manusia yang mahu keluar dan bergerak, ia haruslah dilakukan demi kepentingan bersama.

“Dalam situasi hari ini, rakyat Malaysia perlu bersatu dan bersedia menghadapi apa jua kemungkinan yang mendatang.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga saintis berjaya menjumpai vaksin atau antiviral yang sesuai bagi menghapuskan COVID-19,” katanya lagi.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak COVID-19, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca