Pembelian ‘Online’ Pakaian Dalam Wanita Meningkat Sejak Penguatkuasaan PKP

Salah satu cara wanita Malaysia memenuhi kebosanan terkurung di dalam rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah dengan membeli pakaian dalam baharu. Berdasarkan satu kajian, jualan produk tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 900 peratus hanya dalam masa sebulan iaitu sepanjang penguatkuasaan PKP.

Selain pakaian dalam wanita, antara produk lain yang menyaksikan lonjakan jualan dalam talian sejak PKP bermula termasuklah serbuk gelatin dan juga kuali.

Berdasarkan satu kaji selidik yang dijalankan oleh Commerce.Asia Group of Companies (Commerce.Asia), ekosistem teknologi dan penyelesaian data raya e-dagang melihat pertumbuhan Volum Barangan Kasar (GMV) melonjak sebanyak 149 peratus tahun ke tahun dalam suku pertama 2020 sejak PKP bermula.

Menurut Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Commerce.Asia iaitu Ganesh Kumar Bangah, e-dagang terus menjadi salah satu daripada beberapa industri yang berkembang maju dalam tempoh getir ini apabila ekosistem itu mencatatkan peningkatan yang sangat menggalakkan pada suku pertama 2020.

Pada masa yang sama, Commerce.Asia juga menyaksikan perubahan kekal dalam tingkah laku pengguna apabila ramai yang menjangka akan terus melakukan pembelian mereka menerusi pasaran digital meskipun selepas PKP tamat.

“Membeli belah dalam talian kini adalah ‘kebiasaan baharu’ memandangkan wabak COVID-19 telah membawa kepada lonjakan perniagaan e-dagang di seluruh dunia apabila orang ramai beralih kepada platform dalam talian.

“Kami melihat pertumbuhan ketara menerusi jualan peniaga kami dalam pelbagai kategori produk. Perubahan dalam tingkah laku belian ini menunjukkan rakyat Malaysia sedang menyesuaikan diri kepada situasi kehidupan baharu,” kata Ganesh.

Memetik laporan Sinar Harian, Commerce.Asia dikatakan memanfaatkan pangkalan datanya bagi menganalisis trend jualan daripada 30 hari sebelum PKP berbanding 30 hari semasa PKP dalam seluruh rangkaian peniaganya dan menyusun senarai kategori produk e-dagang paling pantas berkembang dengan keputusan yang memberangsangkan.

Jualan barangan penting seperti makanan, peralatan mandian dan produk bayi semakin meningkat seperti yang dijangkakan tetapi apa yang mengejutkan adalah jualan pakaian dalam wanita berada di tangga teratas.

Memandangkan kesihatan menjadi kebimbangan utama buat masa sekarang, maka tidak hairanlah sarung tangan lateks mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 888 peratus.

Dalam pada itu, jualan peralatan kecergasan rumah pula meningkat sebanyak 200 peratus.

Kata Ganesh, memandangkan permintaan pengguna yang di luar jangkaan menerusi platform dalam talian, peniaga bukan sahaja perlu memenuhi pesanan ini tetapi juga mesti memastikan pengaturan logistik bagi memastikan serahan tepat pada masa.

“Logisik memainkan peranan penting dalam menyokong e-dagang dengan memastikan proses dan penghantaran pesanan yang cekap,” ujar Ganesh.

Ganesh turut menasihati perniagaan e-dagang supaya melengkapkan diri dan kakitangan mereka dengan sumber yang sesuai bagi menguruskan operasi dari jarak jauh dengan hanya sedikit atau tanpa sebarang gangguan sepanjang tempoh mencabar ini.

Untuk baca artikel lain tentang pembelian secara dalam talian, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca