Pemandu yang didapati bersalah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dicadangkan supaya dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong.
Menurut Liew, Kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu yang membuat kesalahan tersebut.

“Saya serahkan kepada MOT untuk ambil langkah menggubal undang-undang di Dewan Rakyat. Mereka yang cuai atau mabuk kenalah ambil tanggungjawab dan pastikan diberi hukuman setimpal sekiranya didapati bersalah,” katanya seperti yang dilaporkan Astro Awani.
Pada 29 Januari lalu, Anthony Loke selaku Menteri Pengangkutan mengatakan bahawa Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dipinda untuk memberi hukuman lebih berat kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian. Ia melibatkan pindaan tiga seksyen di bawah APJ 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45.
Buat masa ini, mereka yang memandu secara berbahaya dan di bawah pengaruh alkohol dikenakan hukuman mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.
Disoal mengenai cadangan segelintir pihak agar pemandu mabuk yang membabitkan kemalangan maut didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat, Liew berkata, kesalahan jalan raya adalah tertakluk di bawah APJ 1987.
Menurut beliau, semuanya terpulang kepada budi bicara mahkamah selepas meneliti hujahan pihak pendakwa raya.
Sebelum ini, kami pernah kongsikan kes kemalangan di mana seorang pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menemui ajal selepas motosikalnya dirempuh wanita mabuk. Anda boleh klik pada pautan di bawah untuk membaca artikel penuh: