Pelonjakan Harga Ayam Menjelang Hari Raya Aidilfitri, KPDNHEP Nafi Mencecah RM12 Sekilo

Harga ayam segar di pasar-pasar seluruh negara dilaporkan naik mendadak sejak mulanya berpuasa. Setakat hari ini, harga paling tinggi dicatatkan pada RM9.60 sekilogram di pasar awam sekitar daerah Johor Bahru. Perkara ini dimaklumkan oleh pihak pembekal ayam mentah tersebut kepada para peniaga. 

Menurut Utusan semalam, perubahan harga ini secara umumnya merekodkan peningkatan sebanyak 40 sen di pasar terbabit. Hal ini disokong oleh Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Pasar Awam Larkin Sentral, Abdullah Idris. 

Beliau meramalkan kemungkinan tinggi bagi harga ayam untuk melonjak sehingga RM10 sekilogram menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Perkara ini diukur berdasarkan trend kenaikan harga oleh pembekal di Malaysia.

“Kami tidak mempunyai pilihan lain,” kata peniaga di pasar awam ini. Isu kenaikan harga secara mendadak ini terpaksa dituruti ketika berniaga. Meskipun menerima rungutan daripada pembeli, mereka tidak boleh mengubah harga yang telah ditetapkan oleh pembekal.

Rentetan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) tampil memberi keterangan mengenai isu tular mengenai peningkatan harga ayam sehingga RM12 sekilogram.

Dakwaan di laman sesawang Facebook terhadap isu yang dikatakan berlaku di sekitar Kuala Lumpur itu didapati tidak tepat. 

“Paparan yang tular itu hanya membabitkan harga tiga barang iaitu ikan kembung, ayam dan daging di premis-premis sekitar di daerah ‘up-market’ Bukit Bintang sahaja,” kata Datuk Alexander Nanta Linggi. Tambahan beliau, “Harga Ayam Super (1kg) ada dijual pada harga kurang daripada RM10, contohnya di Cold Storage, KLCC (RM8.99); Hero Market, Berjaya Time Square (RM9.19) dan AEON(AU2) di Setiawangsa (RM8.30).”

Perkara ini kemudiannya dirumuskan kepada masyarakat umum untuk tidak sewenang-sewenangnya mengeluarkan pernyataan dengan hanya berdasarkan satu premis tertentu.

Bermula 13 April 2021, KPDNHEP telah melancarkan Ops Pantau melibatkan harga barang keperluan harian. Pusat yang terlibat adalah bazar ramadan, pasar awam, pasar basah, hypermarket, supermarket, mini market dan kedai runcit di seluruh negara. Tumpuan berat diberikan ke atas peniaga-peniaga bahan mentah seperti ayam, daging dan ikan.

Apa yang boleh anda katakan mengenai kenaikan harga ayam ini?

Baca artikel-artikel lain:

Sumber: Utusan, PN BBC Portal

Artikel Lain Untuk Di Baca