Perbuatan seorang pengasuh wanita yang dikenali sebagai Ju telah terbongkar apabila majikannya mengetahui perilakunya yang meletakkan ubat tidur ke dalam botol susu anak kecilnya.
Vierza dan suaminya mengupah Ju sebagai pengasuh kepada anak-anak mereka dan sebagai majikan sudah semestinya ada beberapa peraturan yang harus dipatuhi oleh pengasuh berkenaan. Malangnya, pengasuh itu mula mengkhianati kepercayaan majikannya malah membahayakan nyawa anak mereka.
“Saya dan suami bekerja dan keluar dari rumah pada jam 5 pagi dan pulang pada jam 9 malam. Namun dua tiga minggu kebelakangan ini, anak kami Great, selalu tidur awal dan saya tidak curiga. Tetapi lama-kelamaan saya fikir, kenapa Great tak bangun minta susu? Lampinya juga kering. Saya mula bimbang jikalau dia dehidrasi.”
“Saya cuba bangunkan dia tetapi dia tak bangun. Saya fikir tiada apa-apa, mungkin perkara biasa sahaja.”
“Sehinggalah saya menceritakan kepada rakan saya dan beliau memberitahu mungkin anak saya diberi ubat tidur yang membuatkan dia lena tidak terbangun.” katanya.
Namun, dia tidak terus membuat tuduhan kepada pengasuhnya. Sampailah pada satu malam, dia membangunkan anaknya tetapi tidak sedar-sedar walaupun sudah ditepuk, dicium dan diangkat dari tilamnya.
Perbuatan Ju terbongkar apabila Vierza membuang susu yang dibuat oleh pengasuhnya itu untuk membancuh susu yang baru akan tetapi dia terhidu bau anggur merah dari susu itu. Dia berasa terkejut apabila bau susu tersebut berbeza dengan susu yang dibuat olehnya.
Vierza yang berasa curiga terus menyoal siasat pengasuh anaknya itu dan setelah didesak akhirnya pengasuhnya mengaku bahawa dia meletakkan ubat tidur dalam susu anak majikannya sejak tiga hari yang lalu.
View this post on InstagramA post shared by Vierza Belinna (@febevierza912) on
Ju turut menunjukkan jumlah ubat tidur yang dimasukkan dalam botol susu anak majikannya itu.
“Kalau orang lain, tak ada banyak bicara pasti diseret ke balai polis,” kata suami Vierza.
“Anak saya muntah terus setiap kali minum susu. Doktor kata perutnya penuh dengan gas dan dos ubat itu masih ‘bekerja’ dalam badan anak saya,” katanya.
Walau bagaimanapun, Vierza memilih untuk memaafkan pengasuh anaknya itu kerana memikirkan Ju yang masih mempunyai anak-anak kecil. Namun, Vierza memberi amaran kepada Ju agar tidak mengulangi perbuatannya itu lagi.
Vierza berkata, apa yang berlaku itu membuka matanya agar tidak terlalu percaya kepada pengasuh. Dia juga menasihatkan ibu bapa di luar sana agar berhati-hati dan sentiasa peka dengan perubahan anak-anak yang dijaga oleh pengasuh.