Pelawak Terkenal Tanah Air, Abam Bocey Meninggal Dunia Pada Usia 32 Tahun

Pelawak terkenal tanah air, Abam yang juga merupakan anggota kumpulan Bocey menemui ajal pada usia 32 tahun di kediamannya yang bertempat di Gombak pada Isnin. Berita sedih itu disahkan sendiri oleh adik kepada Abam iaitu Ali.

“Isteri Abam hubungi saya dan beritahu abang saya tidak sedarkan diri,” cerita Ali kepada Gempak.

“Saya bergegas ke kediaman Abam dan ya, dia sudah tidak bernafas,” katanya gagal mengawal emosi.

Isteri kepada Abam iaitu Nor Hidayah turut mengesahkan perkara tersebut.

Menurut Hidayah, Allahyarham pada mulanya demam dan mengadu kurang sihat sejak dua hari lepas.

“Beberapa hari lepas dia demam dan mengadu sakit kepala. Tetapi bila ajak ke hospital, dia tak mahu,” cerita Hidayah.

“Katanya hanya demam dan sakit kepala biasa. Tapi, pagi tadi saya kejutkan untuk solat Subuh, namun tak ada sebarang tindak balas daripada dia,” katanya menangis teresak-esak.

Untuk rekod, Abam dan Nor Hidayah mendirikan rumah tangga pada tahun 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, 5 bulan.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan merupakan seorang pelawak, pelakon dan ahli kumpulan Bocey bersama Fad dan Acey.

Team Lejen Digital mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca