Pelantikan Vivy Yusof Sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM Terima Pelbagai Reaksi Warganet

Pelantikan usahawan terkenal, Datin Vivy Yusof sebagai sebahagian daripada Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima pelbagai reaksi warganet. Rata-rata gembira dengan nafas baharu dalam Ahli Lembaga UiTM itu tetapi ada juga segelintir yang mempersoalkan pelantikan tersebut.

Vivy yang berusia 32 tahun sangat teruja dengan berita tersebut. Beliau memberitahu bahawa pelantikan itu diamanahkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik atas dasar kepercayaan dan tanggungjawab yang mampu digalas oleh beliau.

Berita tentang pelantikan ini dikongsikan oleh Vivy sendiri menerusi laman Instagramnya kelmarin.

“Berdiri bulu roma saat saya melihat ini. Alhamulillah, saya telah diberi tanggungjawab yang besar oleh Menteri Pendidikan sebagai ahli lembaga pengarah termuda Universiti Teknologi Mara (UiTM),” coretnya.

“Saya amat menghormati Pengarah Urusan dan ahli lembaga lain atas usaha keras mereka.”

“Meskipun saya tidak memiliki pengalaman sama seperti mereka, saya berharap dapat memberi sumbangan terbaik daripada segi idea dalam membawa pembaharuan untuk manfaat bersama dalam industri pendidikan. Bismillah untuk tugasan baharu ini!” katanya yang turut menggunakan tanda pagar #janganmasukclasslambatnanticikguvivymarah.

Berita gembira ini juga turut dikongsikan di laman Facebook rasmi UiTM. Walau bagaimapun, ada sesetengah pihak yang kurang senang dengan pelantikan ini kerana menurut mereka, ramai yang lebih layak untuk memegang jawatan itu berbanding Vivy.

Mereka turut menyatakan beberapa alumni UiTM yang dirasakan lebih layak memikul tanggungjawab tersebut. Antaranya termasuklah penyanyi popular, Yuna dan pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat serta Rizman Ruzaini.

Berikut adalah beberapa komen yang dicoret oleh warganet:

“Bagi saya, lagi sesuai kalau usahawan berjaya yang merupakan alumni UiTM dilantik kalau nak dibandingkan dengan Vivy.”

“Apa? Tak ada orang lain ke? Kalau setakat usahawan yang berjaya, cukup bagi ikon sahajalah.”

“Apa yang membuatkan dia layak dilantik memegang jawatan ini? Pernahkah dia berkhidmat untuk universiti awam sebelum ini? Adakah dia memahami apa yang pelajar inginkan?”

Isteri kepada Fadza Anuar ini merupakan graduan lulusan Undang-Undang dari London School of Economics di United Kingdom.

Sebelum ini, beliau pernah merangkul pelbagai anugerah termasuklah Bella Business Award 2013, Prestige Magazine’s 2015, List of Top 40 Under 40, 60 Wanita Inspirasi Nona, Young Entrepreneur Award dari Tribute To Women Malaysia, Top 5 kategori Fesyen MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2017 dan Top 5 Personaliti Media Sosial di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2016, lapor mStar.

Apa-apa pun, tahniah diucapkan kepada Datin Vivy Yusof atas pelantikan ini.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca