Pelancong UK Ini Zahir Penghargaan Cara Malaysia Tangani COVID-19

Baru-baru ini, tuduhan negatif Al Jazeera terhadap cara pihak berkuasa Malaysia menangani penularan COVID-19 telah membangkitkan kemarahan orang ramai.

Hal ini demikian kerana agensi berita itu mendakwa usaha pihak berkuasa Malaysia untuk memutuskan rantaian COVID-19 ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) merupakan satu bentuk diskriminasi kepada warga asing.

Di sebalik tuduhan negatif tersebut, seorang YouTuber dari United Kingdom, Darren Cronian memuji inisiatif kerajaan Malaysia dalam menangani krisis berkenaan.

Darren berkongsi pengalamannya ketika terkandas di Malaysia hampir 11 minggu secara bersendirian dalam pangsapurinya berdepan pandemik itu di negara asing.

Menurut Darren, beliau kagum bagaimana pihak berkuasa Malaysia mengendalikan situasi itu dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri berbeza dan mengurangkan pergerakan rakyat.

“Apabila saya melihat Malaysia melaksanakan tindakan sedangkan perniagaan di United Kingdom masih dibuka ketika itu, saya buat keputusan untuk tinggal di negara ini dan menempuhnya tanpa mengira berapa lama masa yang diambil.

Saya amat kagum bagaimana Malaysia mengendalikan krisis COVID-19. Kerajaan Malaysia terus melaksanakan tindakan, kuat kuasa PKP dan memastikan orang ramai tidak membuat pergerakan. Orang ramai hanya boleh keluar untuk membeli makanan dan barangan keperluan sahaja,” katanya.

Walaupun Darren akui ia tidak bagus untuk melihat imej beberapa kawasan kejiranan dikelilingi kawat berduri, beliau menganggap ia perlu dilakukan kerana Malaysia mempunyai kepimpinan yang baik.

Selain itu, Kementerian Kesihatan juga telah melakukan tugas yang sangat baik dalam mengendalikan masalah berkenaan. Darren menganggap apa yang dilakukan oleh Malaysia adalah model yang harus diikuti seluruh dunia.

Dalam pada itu, Darren sedar rakyat Malaysia memandang serius pandemik ini apabila beliau pergi ke pejabat Imigresen untuk melanjutkan visanya dan mendapati ia ditutup.

Rakyat Malaysia adalah sebahagian daripada punca pandemik ini tidak seburuk apa yang terjadi di negara lain. Apabila anda lihat jumlah kes setakat ini berbanding United Kingdom atau negara Eropah lain, banyak yang berkaitan dengan kerjasama rakyat,” ujarnya.

Darren mengakhiri videonya dengan mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana mengambil berat mengenai dirinya dan menyediakan beliau rumah yang selamat.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca