Pelakon Star Wars Temui Ajal Akibat COVID-19

Hari demi hari, jumlah kematian membabitkan jangkitan COVID-19 semakin bertambah di beberapa negara. Terbaharu, seorang lagi pelakon Hollywood iaitu Andrew Jack dilapor turut menjadi mangsa wabak ini.

Mendiang yang membawa watak General Ematt menerusi filem Star Wars menemui ajal pada usia 76 tahun akibat komplikasi COVID-19.

Menurut wakil kepada pelakon itu iaitu Jill McCullough, Jack meninggal dunia di sebuah hospital di Surrey, United Kingdom (UK) pada Selasa. 

“Jack bekerja sebagai jurulatih dialek dan pernah tinggal di dalam rumah bot Thames.

“Mendiang merupakan seorang yang berdikari dan sangat mencintai isterinya,” kata McCullough.

Dalam pada itu, menerusi satu hantaran di laman Instagram, isteri mendiang iaitu Gabrielle Rogers mengesahkan bahawa suami kesayangannya telah disahkan positif COVID-19 sejak dua hari lalu.

Untuk rekod, sepanjang kariernya, mendiang pernah membintangi beberapa siri dalam filem itu termasuk Star Wars: Episode VIII – The Last Jedi, Solo: A Star Wars Story dan Star Wars: Episode VII – The Force Awakens.

Memetik laporan Astro Awani, antara pelakon yang pernah menjalani latihan dialek bersamanya ialah Robert Downey Jr dan Chris Hemsworth.

Terdahulu, Mark Blum yang pernah membintangi filem Desperately Seeking Susan, Crocodile Dundee dan siri televisyen berjudul You meninggal dunia di Hospital New York Presbyterian selepas didapati dijangkiti virus yang sama.

Sementara itu, pelakon terkenal Hollywood iaitu Idris Elba, Tom Hanks dan isterinya, Rita Wilson mengesahkan bahawa mereka positif jangkitan COVID-19.

Team Lejen Digital mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga Andrew Jack.

Untuk baca artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca