Pelakon Malaysia Ini Kongsi Bagaimana Beliau Jadi Major Jane Dalam Peninsula

Baru-baru ini, aktres Bella Rahim menjadi bualan ramai selepas beliau membuat kemunculan dalam filem sekuel Train To Busan iaitu Peninsula yang kini ditayangkan di pawagam.

Selepas menonton filem berkenaan, ramai orang pasti tertanya-tanya bagaimana Bella berjaya mendapatkan peluang untuk berlakon dalam filem berkenaan.

Untuk menjawab persoalan tersebut, Bella baru-baru ini ada berkongsikan kisah di sebalik pemilihan beliau untuk watak Major Jane di laman Instagram.

Sumber: Instagram Bella Rahim

Bella berkata bahawa peluang untuk berlakon dalam filem arahan Yeon Sang-ho itu hadir apabila dia dihubungi oleh ejennya dan pihak produksi mengadakan uji bakat sebelum dipilih.

Aktres itu turut membuat pendedahan menerusi satu temu bual bersama portal Hype bahawa dia mula dihubungi pada Mei tahun lalu oleh ejennya.

“Ejen itu bertanya kepada saya, ‘Adakah awak mahu mencuba uji bakat untuk sebuah filem ini yang diarahkan Yeon Sang-ho?’

Saya memberitahunya sudah pasti! Kenapa tidak? Kemudian saya terkesima apabila nama pengarah itu seperti pernah didengari sebelum ini,” ujarnya kepada Hype.

Selepas membuat semakan melalui enjin carian Google, Bella mengetahui Yeon Sang-ho ialah pengarah filem Train To Busan. Beberapa bulan selepas uji bakat dijalankan, Bella menerima panggilan daripada ejennya yang memaklumkan dirinya disenarai pendek untuk watak Major Jane ketika sedang makan di restoran.

“Saya menerima mesej daripada ejen bertanyakan tentang ukuran baju ketika sedang menikmati makanan di kedai mamak. Saya tahu nama telah disenarai pendek untuk watak berkenaan dari situ,” jelasnya.

Walaupun Bella tidak membawa watak utama dalam filem tersebut, pencapaian beliau yang terlibat dalam sebuah produksi filem menjadi kegilaan ramai di seluruh dunia sudah pastinya membanggakan kita sebagai rakyat Malaysia.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan Peninsula, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca