Pelakon Ashraf Muslim Dijangkiti COVID-19

Pelakon Ashraf Muslim, 39, menjadi individu kesembilan yang disahkan mendapat jangkitan wabak COVID-19 selepas pulang dari menjalani penggambaran drama berjudul Demi di Inverness, Scotland pada 31 Mac lalu.

Setelah sekian lama mendiamkan diri, akhirnya Ashraf berlapang dada berkongsi kenyataan sebenar bahawa dia juga positif dijangkiti pandemik yang menular di seluruh dunia ini.

Ashraf kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh yang juga menempatkan seorang lagi pelakon dalam drama berkenaan iaitu Puteri Aishah.

“Saya disahkan positif COVID-19 pada 12 April lalu dan sangat sebak apabila mengetahui keputusan itu. Namun, saya redha dengan pilihan Allah. Ada hikmah di sebaliknya.

“Maafkan saya keluarga dan sahabat. Tolong doakan yang baik-baik buat saya dan semua pesakit yang menerima rawatan di hospital ketika ini,” katanya.

Ashraf juga turut berterima kasih kepada semua doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang menjadi barisan hadapan negara dalam usaha menangani penularan wabak COVID- 19 ketika ini.

“Kepada isteri-isteri dan anak- anak iaitu Sarah, Adam, Anas dan Safiyyah doakan ayah semoga cepat pulih daripada penyakit ini. Ayah rindu sangat pada keluarga.

“Jangan risau, ayah baik-baik saja di sini (hospital) sekarang. Alhamdulillah, ayah masih boleh solat dan membaca Al-Quran macam biasa,” katanya.

Ashraf juga meminta semua orang agar berprasangka baik pada Allah. Katanya, hanya Dia yang memberi penyakit dan Dia juga adalah penyembuhnya.

Terdahulu, Ashraf menjalani penggambaran drama 26 episod untuk RTM di Scotland sebelum kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini yang berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Pasukan produksi drama yang disertai 18 individu ke Scotland itu telah mengesahkan bahawa lapan orang daripada mereka telah dijangkiti COVID-19.

Memetik laporan Harian Metro, lima kru termasuk pengarah berserta dua pelakon, Puteri Aishah, Puteri Rayyana Rayqa dan ibu Rayqa iaitu Syira disahkan positif wabak yang berbahaya itu.

Untuk membaca artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca