Pelajar IPT Diminta Kekal Di Kolej Masing-Masing

Pelajar institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta diminta untuk terus kekal di asrama atau kolej masing-masing sehingga arahan terbaharu dikeluarkan.

Dalam satu kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), kementerian bersetuju dengan keputusan kerajaan supaya pelajar terus kekal berada di tempat masing-masing sehingga arahan terbaharu dikeluarkan dari semasa ke semasa.

KPT juga masih memperhalusi cadangan untuk membenarkan pelajar yang masih tinggal di asrama atau kolej untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.

Menurut kenyataan itu, cadangan itu perlu dibincangkan lagi selepas menerima saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saranan ini dibuat dengan mengambil kira pergerakan penuntut secara beramai-ramai akan memberi risiko penularan semula COVID-19 yang kini telah mula menunjukkan tanda penurunan,” menurut kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, pihak KPT yakin semua pelajar yang terjejas memahami keadaan bahawa kerajaan sedang berhadapan dengan saat genting dalam menangani ancaman global ini.

“Kerajaan juga menghargai pengorbanan dan solidariti yang ditunjukkan semua penuntut untuk bersama-sama memerangi wabak ini.

“Apa yang diperlukan ketika ini adalah sedikit kesabaran untuk terus bertahan berada di dalam kampus sehingga usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini berjaya dilaksanakan,” ujar kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan itu, semua penuntut disarankan memanfaatkan masa terluang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dengan aktiviti berfaedah seperti pembalajaran dalam talian, meneroka penggunaan teknologi terkini dalam pembelajaran dan sebagainya.

Sementara itu, penuntut juga dinasihatkan untuk terus mengutamakan langkah pencegahan dengan sentiasa mencuci tangan, memakai topeng muka serta mengamalkan penjarakan sosial.

Mengikut rekod, terdapat hampir 80,000 penuntut berada di kampus masing-masing susulan pelaksanaan PKP fasa pertama dan kedua.

Kesimpulannya, para pelajar perlu memahami situasi ini dengan baik. Mereka perlu mementingkan keselamatan dan tidak terikut-ikut perasaan. Para pelajar sudah pun dewasa untuk berfikir apa yang terbaik. Patuhilah arahan kerajaan supaya wabak yang sedang dihadapi ini akan berakhir dengan segera.

Untuk baca artikel lain berkenaan pelajar IPT ingin pulang ke rumah masing-masing, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca