Pelajar 13 Tahun Diserang Dengan Kapak, Remaja 16 Tahun Ini Didakwa

Seorang remaja berusia 16 tahun di Singapura yang dipercayai telah menyerang dan membunuh seorang pelajar di Sekolah Tinggi River Valley (RVHS) pada Isnin, 19 Julai kini telah didakwa atas tuduhan membunuh.

Remaja tersebut yang tidak dinamakan kerana masih bawah umur 18 tahun, telah didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun dalam tandas di tingkat empat sekolah yang terletak di Boon Lay Avenue.

Pelajar tingkatan Empat berkenaan hadir persidangan mahkamah menerusi pautan video dari tempat dia ditahan reman.

Pihak pendakwa raya telah memohon mahkamah supaya remaja tersebut direman di Pusat Perubatan Changi untuk menjalani penilaian psikiatri.

Hasil siasatan awal mendedahkan bahawa remaja 16 tahun itu pernah menjadi pesakit di Institut Kesihatan Mental (IMH).

Siasatan polis menunjukkan terdapat sebuah insiden cubaan membunuh diri yang membabitkan remaja tersebut ketika berusia 14 tahun pada tahun 2019. Susulan itu, dia dibawa dalam tahanan demi keselamatannya dan kemudiannya dirujuk ke IMH untuk penilaian.

Pada Isnin yang lalu (19 Julai), pihak polis atau lebih dikenali sebagai Singapore Police Force (SPF) memberitahu bahawa mereka telah menerima panggilan bantuan di RVHS pada jam 11:40 pagi dan mendapati mangsa terbaring di tandas sekolah dengan beberapa kesan kecederaan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan sebilah kapak dijadikan sebagai bahan bukti kes di mahkamah.

Tertuduh berusia 16 tahun berkenaan dipercayai telah membeli kapak tersebut melalui dalam talian.

Hasil siasatan awal mendapati tertuduh dan mangsa tidak mengenali antara satu sama lain. Namun, pihak SPF masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti motif serangan tersebut berlaku.

Hakim kemudiannya memerintahkan suspek direman untuk menjalani pengawasan psikiatri selama tiga minggu dan perlu hadir ke mahkamah pada 10 Ogos depan.

Jika disabitkan kesalahan, remaja tersebut boleh dihukum mati. Walau bagaimanapun, mengikut Seksyen 314 Kanun Prosedur Jenayah, hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap tertuduh berusia di bawah 18 tahun ketika kesalahan dilakukan.

Remaja berkenaan sebaliknya akan menerima hukuman penjara seumur hidup.

Pihak polis mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes itu bagi menghormati keluarga bagi pihak mangsa.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca