Seorang lelaki tekad berjalan sejauh 564 kilometer demi melakukan seks dengan gadis bawah umur hanya tinggal sia-sia apabila dia ditahan timbalan syerif Daerah Winnebago, Wisconsin yang menyamar sebagai gadis berkenaan di Amerika Syarikat.
Tidak menyedari dia sebenarnya diumpan polis, Tommy Lee Jenkins, 32, berjalan kaki dari Whitetown, Indiana hingga ke Milwaukee pada Khamis lalu sebelum seseorang tidak dikenali membelikannya tiket bas untuk bertemu mangsa yang dikenali sebagai ‘Kylee’ di Neenah.
Jenkins asalnya mula menghubungi ‘Kylee’ yang tinggal di Neenah menerusi sistem pesanan ringkas sambil meminta gambar lucah dan ingin mengadakan hubungan intim dengannya.
Lelaki pedofilia itu juga turut membuat pengakuan kepada ‘Kylee’ bahawa dia ingin mencari 500 gadis bawah umur untuk melakukan perbuatan jijik terbabit dalam tempoh setahun.
Timbalan syerif terbabit ditugaskan melakukan operasi menerusi Pasukan Khas Kanak-kanak terhadap Jenayah Internet dengan kerjasama polis tempatan dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Lelaki terbabit kini didakwa atas tuduhan cuba memujuk kanak-kanak bawah umur untuk melakukan hubungan seks yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Sebenarnya, dia pernah ditahan pada tahun 2011 di daerah sama atas dua tuduhan melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak yang kemudiannya dipinda kepada empat tuduhan penderaan kanak-kanak.
“Kita berdepan epidemik penderaan seksual terhadap kanak-kanak dan internet menyebabkan ia lebih mudah untuk pemangsa berkomunikasi dengan kanak-kanak di seluruh negara,” kata Pendakwa Raya Negeri, Matthew D Krueger.