Pedih Masih Terasa, Ini Kisah Tragedi Suzaily Mukhtar Yang Dirogol Dan Dijerut Sampai Mati

Masihkah anda ingat tentang kes rogol dan bunuh seorang wanita bernama Noor Suzaily Mukhtar hampir dua dekad lalu? Pada 19 tahun lepas, negara kita pernah digemparkan dengan kes jenayah kejam di mana suspek sanggup bertindak di luar batas dengan menamatkan nyawa seorang gadis demi memuaskan nafsu sendiri.

Insiden ini berlaku di antara Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dengan tapak pembinaan projek perumahan di Taman Bukit Tinggi sekitar jam 8.50 pagi hingga 9.15 pagi pada 7 Oktober 2000.

Ketika kejadian, mangsa sedang menaiki bas menuju ke tempat kerja iaitu di sebuah hospital swasta dekat ibu kota bagi melapor diri pada hari pertama bergelar jurutera komputer.

Menurut sumber, pemandu bas berkenaan menurunkan semua penumpang kecuali Suzaily sebelum bertindak mengambil laluan lain menuju ke sebuah lokasi bagi memuaskan nafsu serakahnya.

Sebaik sahaja mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, Suzaily yang berasal dari Perlis mula panik dan menjerit dengan harapan ada yang mendengar teriakannya.

Pada masa yang sama, mangsa dipercayai turut mengetuk cermin bas dan cuba melarikan diri menerusi pintu kecemasan namun usaha itu gagal apabila pemandu bas itu sempat mengunci kesemua pintu melalui suis automatik yang terdapat di panel pemandu.

Mangsa ketika itu terus dan terus menjerit untuk meminta bantuan. Walau bagaimanapun, jeritan mangsa terhenti apabila suspek bertindak menampar dan menumbuknya tanpa sebarang belas kasihan.

Selepas itu, mimpi ngeri Suzaily bertukar menjadi kenyataan apabila suspek bertindak merogol mangsa di dalam bas tersebut. Tidak cukup dengan dirogol dan diliwat, Suzaily turut dipukul hingga ‘lunyai’ menyebabkan 44 kesan kecederaan pada tubuhnya.

Episod malang gadis itu tidak berakhir di situ sahaja apabila suspek turut menggunakan kain untuk menjerut leher mangsa sehingga meragut nyawanya.

Dengan harapan perbuatan kejam itu tidak akan terbongkar, suspek bertindak mencampak mayat mangsa di sebuah jalan sekitar kawasan pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang.

Tertuduh utama bagi kes ini ialah seorang pemandu bas yang dikenali sebagai Hanafi Mat Hassan. Pesalah yang berasal dari Bachok, Kelantan itu ditahan pihak berkuasa di terminal bas Klang tiga hari selepas insiden berkenaan berlaku.

Pada awal perbicaraan, lelaki berusia 32 tahun itu tidak mengaku bersalah atas tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. Malah, dia sempat mereka-reka cerita yang kononnya dia terlihat mangsa turun daripada bas dalam keadaan yang tergesa-gesa.

Walau bagaimanapun, keadilan akhirnya berjaya ditegakkan apabila pihak polis dan penyiasat menjumpai kesan air mani milik Hanafi di atas lantai bas dan juga pada rahim Suzaily.

Bagi menguatkan lagi pertuduhan itu, seorang pelajar sekolah selaku saksi utama kes itu iaitu Devan a/l Anbalagan tampil memberikan keterangan di mana dia terlihat mangsa mengetuk cermin tingkap bas yang dipandu suspek dalam keadaan tidak terurus.

Namun begitu, saksi yang ketika itu hanya menunggang basikal gagal untuk mengekori bas berkenaan kerana ia dipandu dengan laju.

Hanafi telah didapati bersalah dan pihak mahkamah telah menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu penjara selama 20 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan merogol.

Selain itu, dia juga telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas disabitkan atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 kanun yang sama.

Pada 19 Disember 2008, riwayat Hanafi tamat di tali gantung di Penjara Kajang, Selangor.

Mayat suspek kemudiannya telah dihantar ke Hospital Kajang untuk prosedur bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga dan dibawa ke kampung halaman bagi urusan pengebumian.

Untuk rekod, sewaktu kejadian itu berlaku, arwah Noor Suzaily dipercayai tidak berpakaian seksi tetapi hanya mengenakan baju kurung dan memakai tudung.

Diharapkan apa yang menimpa mangsa dapat dijadikan sebagai pedoman buat kita semua untuk lebih berhati-hati tidak kira di mana pun kita berada. Sesungguhnya, syaitan bertopengkan manusia itu ada di mana-mana sahaja. Al-Fatihah buat arwah Suzaily.

Artikel Lain Untuk Di Baca