Paus Pembunuh Orca Dijumpai Berenang Sekitar Pelantar Minyak Petronas Di Terengganu

Dua ekor paus pembunuh Orca atau nama saintifiknya Orcinus Orca dipercayai sepasang paus betina dan jantan telah dirakam berenang 170 kilometer dari Pantai Kerteh, Terengganu.

Detik-detik bersejarah tersebut dirakam oleh beberapa kakiktangan Pelantar Dulang Petronas yang berdurasi 30 saat.

Buat pertama kalinya Paus Orca muncul di Terengganu walaupun sebahagian perairan Laut China Selatan merupakan laluan migrasi utama paus ini.

Mohd Tamimi Ali Ahmad, Ketua Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang mengesahkan sepasang paus tersebut adalah paus pembunuh Orca yang berenang di kedalaman 76 hingga 80 meter.

“Ini adalah kali pertama kemunculan Paus Orca kerana mengikut rekod yang terdapat di FRI Rantau Abang, Jabatan Perikanan Malaysia, Paus Orca tidak pernah muncul di Terengganu,” katanya.

Anggaran saiz paus setiap satu itu adalah enam hingga lapan meter dengan beratnya dianggarkan 5,000 hingga 6,000 kilogram.

Paus pembunuh ini biasanya memburu atau bergerak dalam kumpulan antara dua hingga lima ekor.

“Paus Orca ini merupakan pemangsa teratas dalam rantaian pemakanan di ekosistem lautan dengan memakan sotong, penyu, burung laut, jerung serta mamalia marin lain termasuk anjing laut dan ikan lumba-lumba,” ulas beliau lanjut.

Mohd Tamimi menerangkan lagi bahawa jangka hayat paus pembunuh itu adalah antara 50 tahun hingga 80 tahun dan usia kematangan paus betina adalah antara 10 hingga 20 tahun sementara paus jantan pula adalah antara 15 hingga 21 tahun,”

“Melalui penguatkuasaan Seksyen 27, Akta Perikanan 1985 mengenai Mamalia Akuatik atau Penyu di Perairan Perikanan Malaysia dalam Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 (Pindaan) 2019, pihak Jabatan Perikanan Malaysia akan sentiasa melindungi spesies ikan marin terancam,” kata Mohd Tamimi.

“Sesiapa sahaja yang menemui spesis marin terancam (masih hidup atau telah mati) perlu menghubungi mana-mana Pejabat Perikanan Daerah atau Negeri atau Institut Penyelidikan Perikanan terdekat dengan segera kerana ini boleh menyelamatkan nyawa spesies marin terancam itu,” tambah Mohd Tamimi.

Artikel Lain Untuk Di Baca