Patut Dijadikan Ikutan, Pemuda Ini Seru Semua Orang Untuk Sahut #KutipSampahChallenge

Cabaran atau Mat Salih sebut sebagai challenge dan media sosial memang berpisah tiada. Buka sahaja mana-mana laman sosial sama ada Facebook, Twitter atau Instagram pasti ada sahaja cabaran baru yang sedang trending. Rata-rata masyarakat terutama sekali warganet tidak akan ketinggalan untuk turut serta melakukan cabaran-cabaran tersebut.

Sebelum ini, antara cabaran yang menjadi ikutan ramai adalah Kiki Challenge di mana individu perlu keluar dari kereta yang bergerak secara perlahan dan menari mengikut rentak lagu My Feelings nyanyian penyanyi popular, Drake sebelum memuat naik video berkenaan di media sosial.

Cabaran itu dimulakan oleh selebriti media sosial iaitu Shiggy yang memuat naik videonya menari di jalan raya mengikut rentak lagu berkenaan di laman Instagram.

Selain itu, satu lagi cabaran yang mendapat perhatian warganet adalah Lemon Challenge di mana individu yang melakukan cabaran tersebut perlu memakan hirisan lemon tanpa menunjukkan sebarang reaksi masam.

Boleh dikatakan hampir kesemua cabaran yang tular sebelum ini tidak mendatangkan apa-apa kebaikan buat mereka yang melakukannya. Tidak keterlaluan jika dikatakan ada di antaranya ibarat memakan diri sendiri. Sebagai contoh, ada individu yang hampir lumpuh gara-gara terjatuh ketika melakukan Kiki Challenge. Kejar likes punya pasal, bahaya macam mana pun boleh letak tepi.

Satu video yang tular sebelum ini di mana ia memaparkan seorang lelaki mengutip sampah di Pavilion telah memberi idea kepada seorang pengguna di laman Twitter untuk tampil dengan satu cabaran baru.

Amir Rozali telah berkongsi semula video yang tular pada bulan Julai lepas dan mengajak orang ramai menyertai cabaran yang disebut sebagai #KutipSampahChallenge. Setakat ini, perkongsian itu mendapat lebih 15,000 ulang kicau dan 7,000 tanda suka.

Menurut Amir, perkara seperti inilah yang sepatutnya diberikan perhatian dan bukannya video ‘cringey’ seperti video TikTok yang banyak kita lihat sekarang di laman sosial. Sedar atau tidak, apa yang kita kongsikan di media sosial amat penting memandangkan platform ini memberi pengaruh besar terhadap masyarakat.

Idea #KutipSampahChallenge daripada Amir ternyata mendapat sambutan daripada warganet. Tidak kurang juga ramai yang memujinya kerana tampil dengan idea yang cukup bernas ini. Sejak cabaran ini tular beberapa hari yang lepas, ramai pengguna di laman Twitter berkongsi gambar yang menandakan mereka sudah pun menyahut #KutipSampahChallenge.

Jadi, apa tunggu lagi? Jom sama-sama kita sahut #KutipSampahChallenge!

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca