Tarikan Yang Aneh, Ini Kisah Di Sebalik Patung Arnab Gergasi

Pada zaman teknologi dan resolusi tinggi kini tiada apa yang mustahil termasuklah merakamkan perkara-perkara aneh yang wujud secara tidak sedar mahupun sedar dari pandangan mata kasar. Semua ini boleh dicapai menerusi perisian program komputer yang serba canggih dan serba lengkap seperti Google Earth atau Google Maps.

Google Earth atau Google Maps membolehkan pengguna mengimbas pemandangan dunia dari atas langit secara maya. Imej pemandangan dari atas ini sudah semestinya diperoleh daripada perimejan satelit dan fotografi udara yang dicantumkan lalu menghasilkan peta bumi yang lengkap.

Sumber: atlasobscura

Salah satu kewujudan aneh dan ganjil yang diimbas adalah sebuah patung arnab gergasi yang berwarna merah jambu, di Colleto Vata, sebuah kawasan pergunungan di Utara Itali yang dikenali sebagai Giant Pink Bunny. Patung berbentuk arnab ini dianggap pelik disebabkan oleh saiz, lokasi dan juga visualnya. Kebesaran Giant Pink Bunny mencecah setinggi 200 kaki dari jarak hujung telinga ke hujung kaki dan ketebalan yang berukuran sehingga 20 kaki.

Disebabkan saiznya yang terlampau besar ini telah membuatkan Giant Pink Bunny ini jelas kelihatan pada Google Earth, ditambah pula dengan warna merah jambu yang kontra diletak pada tengah gunung yang menghijau. Visual patung arnab gergasi ini juga kelihatan sedikit mengerikan seolah-olah ia telah jatuh dari langit gara-gara posisinya yang terbaring senget, mata yang agak terjojol serta isi dalam yang berjuraian keluar.

Sumber: googleusercontent

Dipercayai kewujudan Giant Pink Bunny ini telah bermula pada tahun 2005 lagi dan merupakan hasil karya oleh sekumpulan artis dari Vienna bernama Gelitin. Tujuan penciptaan patung gergasi ini adalah untuk menjadikannya sebagai daya tarikan pergunungan itu di mana pendaki gunung boleh memanjat, bermain atau berehat di atas badan patung. Dikatakan struktur patung arnab gergasi mempunyai ciri-ciri lembut dan kalis air.

Sumber: pinimg

Walaubagaimanapun, kewujudannya kini sudah tidak kekal lama dek kerana kian hancur akibat dimakan oleh haiwan dan alam semulajadi. Giant Pink Bunny ini dijangka akan sepenuhnya terhapus pada tahun 2025 yang mana proses penghakisannya sudah bermula semenjak pada tahun 2016. Patung arnab gergasi yang sifatnya sempurna kini tidak lagi seperti asal kewujudannya apabila sudah bertukar menjadi warna kelabu dan yang tinggal hanyalah sisa-sisa isi yang semakin terhakis hari demi hari.

Penulis:

  • Nur Zakiah binti Ahmad adalah seorang pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara Puncak Perdana.
  • Prof. Madya Dr. Mohd Syuhaidi Bin Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Jalinan Industri (ICAN) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi

Sekiranya anda ingin membaca lebih banyak artikel mengenai Rekod Dunia Guinness, anda boleh klik pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca