Pasukan SAR Menjumpai Mayat Sewaktu Mencari Remaja Hilang, Nora Anne Quoirin

Polis mengesahkan bahawa pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang hilang sejak 4 Ogos lalu telah menemui satu mayat di lokasi pencarian.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pihak polis menerima panggilan sekitar 1.57 petang tadi daripada seorang individu yang telah menemui satu mayat di lokasi kira-kira dua kilometer dari lokasi remaja berkenaan dilaporkan hilang.

Pasukan polis kemudiannya bergegas ke lokasi berkenaan sebelum mendapati terdapat satu mayat berkulit putih dalam keadaan sempurna.

Bagaimanapun jelasnya, sehingga kini pihak polis masih belum mengesahkan sama ada mayat berkenaan adalah milik remaja warga Ireland itu atau sebaliknya.

Berikutan lokasinya yang jauh ke dalam kawasan hutan, pasukan forensik diperlukan untuk mengenal pasti mayat adalah seorang lelaki atau wanita.

Keluarga remaja perempuan itu pada Isnin lalu telah menawarkan ganjaran RM50,000 kepada mana-mana pihak yang berjaya membawa pulang anak mereka.

Ibu mangsa, Maebh Jaseprin Quoirin berkata, ganjaran berkenaan sebagai usaha membantu pasukan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mengesan remaja berkenaan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca