Pasti Ada Hikmah, Pemilik Lori Terbalik Halalkan Susu Yang ‘Lesap’

Pemilik lori muatan susu yang terbalik tempoh hari di Tawang dekat Bachok, Kelantan reda dengan apa yang menimpanya dan menganggap isu orang ramai mengambil susu yang jatuh tanpa kebenaran itu sudah selesai.

Menurut Azizan Zainuddin, dia telah menghalalkan baki susu yang masih belum dipulangkan orang ramai sehingga ke hari ini meskipun dia cuma menerima satu pertiga daripada jumlah keseluruhan.

Tambahnya lagi, dia bersedia untuk menanggung segala kerugian yang dialami susulan kejadian itu.

“Sebahagian susu yang dihantar semula oleh orang ramai ke lokasi lori terbalik masih berada di balai polis.”

“Ramai yang menghubungi saya, saya beritahu mereka yang ambil sikit-sikit dan yang tin kemek itu saya halalkan,” katanya.

Ujar Azizan, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan begitu juga dengan kejadian yang menimpanya ini. Mungkin terdapat hikmah di sebalik insiden tersebut yang tidak disedarinya.

“Saya pun dah penat nak jawab panggilan dan pertanyaan orang ramai, anggaplah perkara ini dah selesai,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Dalam insiden yang berlaku pada Rabu lepas, lori dipandu anak Azizan iaitu Mohd Baihaki dan pekerjanya bernama Syafiq terbalik dan susu tin yang jatuh dari lori itu ‘lesap’ diambil orang ramai.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca