Pasar Raya Ebit Lew Bakal Dibuka Bulan Depan

Sebelum ini, pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew meluahkan hasratnya untuk membuka pasar raya dengan harga yang murah. Ternyata hasrat tersebut bukanlah gurauan semata-mata apabila pendakwah itu mendedahkan bahawa 10 cawangan Elews Mart sedang melalui proses pengubahsuaian dan bakal dibuka untuk kunjungan pelanggan tidak lama lagi.

Terbaru, Ustaz Ebit Lew berkongsi satu berita baik di laman Facebooknya iaitu kesemua cawangan pasar raya yang bertempat di sekitar Lembah Klang tersebut akan dibuka secara rasminya pada pertengahan bulan Julai nanti.

Ustaz Ebit Lew juga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Nestle yang langsung tidak segan untuk berkongsi ilmu mengenai sistem pergudangan bagi memudahkan proses pengendalian barangan di Elews Mart nanti.

Difahamkan bahawa para pengilang dan pemborong juga akan memberikan sokongan yang sepenuhnya untuk pembukaan pasar raya baru ini.

10 cawangan itu terletak di Bandar Baru Bangi, Kajang, Cyberjaya, Sungai Buloh, Balakong Cheras, Shah Alam, Damansara, Prima Gombak, Gombak Traders dan Subang Perdana.

Dengan kerjasama daripada semua pihak, Elews Mart akan memberikan harga barangan paling murah buat pelanggan yang berkunjung ke pasar raya itu kelak. Bantuan percuma ataupun ‘food bank’ turut disediakan di setiap cawangan untuk membantu mereka yang memerlukan.

Ustaz Ebit Lew juga turut menjelaskan bahawa dia bahagia apabila dapat membantu orang yang memerlukan bahkan ini adalah impiannya sejak dari kecil lagi.

Ustaz Ebit Lew turut meminta orang ramai mendoakan agar urusan pembukaan pasar raya tersebut dipermudahkan kerana hasratnya untuk membuka pasar raya dengan harga barang paling murah hampir tercapai kerana doa mereka.

Semoga urusan Ustaz Ebit Lew dipermudahkan dan semoga bantuan ini dapat terus menceriakan hari-hari ustaz serta golongan yang memerlukan.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan Ustaz Ebit Lew, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca