Terinspirasi Daripada Sebuah Sajak, Pasangan Ini Jadikan Pembunuhan Sebagai Tanda Cinta

Sepertimana pasangan bercinta yang lain, Cathy Wood dan Gwen Graham mahu melakukan sesuatu bagi menyemarakkan lagi cinta mereka. Namun, siapa sangka pasangan homoseksual ini memilih untuk melakukan pembunuhan sebagai tanda cinta mereka. Kes jenayah yang dilakukan Cathy dan Gwen ini menjadi satu sensasi kerana berlaku percanggahan cerita yang menyebabkan kes ini sukar difahami.

Sebelum bergelar pasangan kekasih, Cathy dan Gwen mempunyai kehidupan yang berbeza. Cathy merupakan seorang isteri dan ibu kepada seorang bayi perempuan. Dia mula bekerja di rumah orang tua-tua Alphine Manor atas desakan suaminya.

Telah berkahwin seawal usia 17 tahun, Cathy sengaja membiarkan dirinya mengandung agar dapat melarikan diri dari rumahnya yang dikatakan bermasalah. Tetapi, kata-kata Cathy ini sukar dipercayai kerana wanita itu telah didiagnos sebagai seorang narsisistik di mana pesakit sering menganggap dirinya sahaja yang benar.

Menurut suami Cathy, setelah bayi mereka lahir, Cathy seperti berasa jengkel akan kehadiran anak yang memerlukan jagaannya itu. Cathy akhirnya mengabaikan anaknya itu dan mengurung dirinya di dalam rumah.

Gwen pula mempunyai zaman kanak-kanak tragik dan mempunyai rekod beberapa masalah mental seperti Borderline Personality Disorder (BPD). Dia sering didera secara seksual dan fizikal oleh bapanya. Anjing peliharaannya pula mati dibunuh abangnya atas arahan si bapa dengan alasan anjing tersebut telah berdosa kerana menakutkan seekor kuda.

Gwen bertemu Cathy sebaik sahaja dia berpindah ke Michigan dan bekerja di rumah kebajikan yang sama. Mereka kemudiannya menjalani satu hubungan tanpa pengetahuan suami Cathy. Gwen menyifatkan pertemuannya dengan Cathy sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.

Namun begitu, hubungan Cathy dan Gwen tidak bertahan lama. Pada musim bunga tahun 1987, Gwen telah berjumpa seorang wanita lain. Dia secara tiba-tiba berpindah semula ke Texas untuk tinggal bersama wanita itu. Cathy yang pada ketika itu telah bercerai dengan suaminya segera berkahwin dengan lelaki lain. Seperti hubungannya yang lain, ia juga tidak bertahan lama. Tetapi sebelum bercerai, Cathy sempat menceritakan jenayah yang pernah dilakukannya bersama Gwen.

Setelah mendengar pengakuan tersebut daripada bekas suami Cathy, polis telah memberkas Cathy demi mendapatkan penjelasan lanjut. Wanita itu terus menceritakan perihal sebenar. Walaupun Cathy mampu memberitahu pihak polis tentang jenayahnya dengan terperinci, apa yang berlaku di Alphine Manor di antara bulan Januari dan April 1987 masih menjadi tanda tanya.

Menurut Cathy, Gwen adalah tunggak utama jenayah mereka. Cathy hanya bertindak mengikut arahan Gwen dan hanya berjaga ketika Gwen melemaskan mangsa-mangsa mereka dengan kain.

Cathy menceritakan kepada pihak berkuasa yang Gwen membunuh mangsa pertama mereka sekitar bulan Januari 1987. Gwen telah masuk ke bilik seorang wanita tua yang menjadi salah seorang penghuni di rumah orang tua Alphine Manor dan bertindak melemaskan wanita tersebut dengan menekup mukanya menggunakan kain. Kelima-lima mangsa yang dipilih kesemuanya adalah perempuan, berumur antara 65 sehingga 97 tahun dan menghidap penyakit Alzheimer.

Cathy memberitahu pemilihan mangsa pada mulanya cuba dibuat agar huruf pertama nama mereka dapat mengeja perkataan M-U-R-D-E-R (bunuh). Namun, setelah menghadapi kesusahan, Cathy dan Gwen memilih untuk membunuh secara rawak.

Mereka mula mengira setiap pembunuhan sebagai hari. Perkara ini dibuat kerana terinspirasi daripada sebuah sajak bertajuk “Saya akan menyayangi awak selamanya dan satu hari” yang dikarang Cathy buat Gwen. Sajak itu akan berakhir dengan ayat “Awak akan menjadi milik saya selamanya dan lima hari.” Lima hari di sini menandakan seramai lima orang mangsa bakal menjadi mangsa pembunuhan mereka.

Pada tarikh 4 dan 5 Disember 1988, satu waran telah dikeluarkan oleh pihak polis yang membawa kepada penahanan Cathy dan Gwen. Gwen didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Cathy berjaya membuat rayuan untuk mengurangkan hukumannya dan hanya dijatuhkan hukuman penjara selama 20 hingga 40 tahun.

Walaupun kes ini telah ditutup, Lowel Cauffiel, seorang wartawan pemegang anugerah menyoal pengakuan Cathy dalam buku kriminal tulisannya berjudul Forever and Five Days. Lowel telah menemu bual beberapa rakan rapat dan teman sekerja Cathy dan Gwen. Kesemua mereka menceritakan satu versi kisah yang sangat berbeza dengan apa yang diceritakan Cathy semasa perbicaraan.

Hasil temu bual mendapati Cathy merupakan si dominan di dalam hubungan mereka. Malah, Gwen memberitahu bahawa dia memutuskan hubungan dengan Cathy kerana takut akan wanita tersebut yang pernah mengikat dan mengugutnya dengan sepucuk pistol. Dalam penulisan Lowel, dia berpendapat bahawa Cathy sebenarnya mahu membalas dendam ke atas Gwen kerana telah meninggalkan dirinya.

Pada masa kini, Gwen masih lagi kekal berada di dalam penjara dan berkemungkinan besar tidak akan merasai kebebasan. Cathy pula telah dibebaskan dari penjara selepas 29 tahun berada di dalam penjara. Cathy dibebaskan 11 tahun lebih awal atas sebab kelakuannya yang baik. Namun, pembebasan Cathy itu mengundang rasa tidak puas hati waris mangsa-mangsa jenayah Cathy dan Gwen.

Seorang cucu kepada salah seorang mangsa Gwen dan Cathy menyifatkan pembebasan seorang pembunuh bersiri seperti Cathy adalah mengejutkan. Malah, wanita tersebut berkata dia tidak akan keluar rumah pada hari Cathy dibebaskan kerana bimbang menjadi mangsa seperti neneknya.

Artikel Lain Untuk Di Baca