Untuk Raikan Kejayaan Dalam UPSR, Pasangan Ini Hadiahkan Gubahan Bunga RM10,000 Untuk Anak Mereka

Setiap individu yang bergelar ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Pada masa yang sama, setiap anak mahukan keputusan yang cemerlang untuk membanggakan diri mereka sendiri dan ibu bapa.

Sama seperti ibu bapa lain, pasangan suami isteri ini mahu menghadiahkan sesuatu kepada anak lelaki mereka supaya dia mempunyai motivasi untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019.

Walau bagaimanapun, Nor Ashikin Ahmad Pauzai dan suaminya iaitu Ihsan Fahmi Ishak memberikan hadiah lain daripada yang lain untuk meraikan kejayaan anak lelaki mereka dalam peperiksaan itu.

Menurut laporan Harian Metro, anak ketiga pasangan tersebut iaitu Muhammad Danish Haziq memperoleh keputusan 5A dan 1B dalam UPSR 2019.

Wanita berusia 33 tahun itu berkata bahawa anak lelakinya yang lebih mesra dipanggil Danish itu merupakan seorang individu yang sangat aktif dalam sukan seperti bola sepak dan bola baling.

Namun, sukan-sukan yang diceburi olehnya membuatkan Danish sangat sibuk sehingga kanak-kanak itu banyak ketinggalan dalam pembelajarannya di sekolah.

Ashikin berkata, “Sebelum ini, dia minta saya dan suami belikan model baharu telefon pintar jenama iPhone. Namun kami tidak mahu sebab takut nanti dia lalai sebaliknya kami janji beri RM10,000 sekiranya Danish mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.”

Sumber: Harian Metro

Sejurus selepas Danish dijanjikan ganjaran berkenaan, Ashikin menyaksikan sendiri kesungguhan anaknya itu sehingga sering melihatnya tertidur ketika membaca buku.

Ashikin dan Ihsan merupakan pengusaha kafe di Alor Setar. Wanita yang berusia 33 tahun itu berkata, “Kami bukan keluarga senang. Saya dan suami menggunakan wang simpanan kami dan bertungkus lumus berniaga untuk mencukupkan jumlah itu dalam masa tiga bulan.”

Menurut Ashikin, “Sebaik sahaja Danish menerima wang tunai berkenaan, terus dia kata nak simpan dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).”


Dalam pada itu, Ashikin berkata bahawa dia tidak mengetahui kisah mengenai gubahan RM10,000 itu tular di media sosial berikutan semua gambar itu diambil pemilik kedai tempahan bunga itu.

Artikel Lain Untuk Di Baca