PAS Cadang Bawa Usul Undi Percaya Terhadap Perdana Menteri

PAS bercadang membawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sidang Parlimen bulan Mac ini. Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Kuala Lumpur.

Menurut Takiyuddin lagi, semua ahli Parlimen PAS akan menyokong Perdana Menteri apabila usul undi percaya itu dibentangkan di Parlimen. Takiyuddin juga tidak menolak kemungkinan ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional akan turut bersetuju dengan usul undi percaya tersebut dan beliau berharap usul tersebut diterima untuk dibahaskan. Usul undi percaya ini bertujuan untuk meredakan keadaan susulan banyak khabar angin yang ditimbulkan oleh pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Dr. Mahathir.

“Ia bukan usul balas kepada undi tidak percaya. Bila usul undi tidak percaya tiada, kita bawa usul percaya.”

“Kalau selepas ini ada usul tidak percaya mungkin kita akan tarik balik usul percaya itu, kita menolak usul tidak percaya itu,” kata Takiyuddin lagi.

Dalam sidang media tersebut, Takiyuddin dan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan akan terus memperkukuhkan Muafakat Nasional dengan UMNO. Mereka berdua juga menafikan mengenai ura-ura kerjasama politik baharu yang dikatakan akan dikenali sebagai Pakatan Nasional. Jawatankuasa Muafakat Nasional juga akan diwujudkan bersama dengan UMNO di peringkat negeri, bahagian dan cawangan.

Khabar angin mengenai perubahan kerajaan melalui penubuhan gabungan politk baru bertiup kencang semenjak minggu lalu. Bagaimanapun, UMNO di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi semalam menafikan ada perbincangan mengenai perkara tersebut.

Artikel Lain Untuk Di Baca