Paru-Paru Berdarah, Aktres Nad Zainal Terpaksa Ditidurkan

Aktres ternama tanah air iaitu Nad Zainal terpaksa ditidurkan selama dua hari selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor.

Memetik laporan Kosmo, rakan baik Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin iaitu Aina Liza memaklumkan perkara tersebut kepada portal berita itu menerusi satu pesanan WhatsApp.

“Saya baru dapat green light untuk berkongsi berita ini. Nad ditidurkan dua hari sebab paru-paru dia berdarah. Dah dapat keluarkan semua darah jadi doktor tidurkan dia supaya boleh rehat dan paru-paru kembali kering.

Tadi tak dapat nak kongsi (berita) ini sebab nak tunggu kebenaran keluarga dia. Sama-sama kita doakan Nad okey,” ujarnya.

Sumber: Instagram @ungkuismailaziz

Menerusi hantaran di Instagram Story, pelakon gandingan Nad dalam drama Cina Buta iaitu Ungku Ismail Aziz memohon doa orang ramai agar aktres itu diberikan kesembuhan.

“Assalamualaikum semua. Saya pohon doa-doa semua kepada Nad Zainal yang dimasukkan ke wad ICU semalam kerana jangkitan kuman di paru-paru.

Beberapa prosedur telah dilakukan dan doktor yang merawat Nad berkata keadaannya stabil tetapi dia benar-bear tidak sihat. Mohon doa ya semua. Allahumma Yashfiihaa,” coretnya menerusi Instagram Story.

Harian Metro melaporkan pengarah dan penerbit Shahrulezad Mohameddin berkata dia turut bimbang tentang keadaan anak-anak Nad yang kini dijaga oleh pembantu peribadi pelakon itu.

Sumber: Instagram @nad.zainal

Pengarah itu turut memohon peminat dan orang ramai untuk mendoakan kesejahteraan Nad supaya dia cepat sembuh dan kembali sihat menurut laporan Utusan Malaysia.

“Tentunya saya khuatir dan terlalu banyak persoalan yang bermain di fikiran. Disebabkan itu, saya merancang untuk pergi melawatnya di hospital walaupun saya tahu pelawat di ICU tidak boleh melebihi dua orang.

Tidak banyak maklumat yang kita terima berkenaan keadaannya yang terkini. Saya sendiri mengharapkan maklumat yang disampaikan daripada orang yang dekat dengannya.

Apa yang boleh kita buat sekarang adalah berdoa agar Nad diberi kesembuhan daripada jangkitan yang dialaminya selain beri ruang kepada keluarganya untuk menjaga dia,” katanya.

Sumber: Instagram @nad.zainal

Shahrulezad juga mengaku bahawa dia terkejut dan khuatir apabila mula-mula dimaklumkan tentang berita tersebut, “Maklumat yang saya terima agak terhad.

Apa yang saya difahamkan, dia berasa tidak sihat sewaktu mengikuti penggambaran drama terbarunya sebelum dibawa ke hospital menaiki ambulans.

Saya sedikit lega apabila mendapat tahu keadaannya kini stabil meskipun masih ditempatkan di ICU. Buat masa ini, saya tidak menghubungi keluarganya kerana tidak mahu menambah tekanan dengan soalan tentang Nad. Kita doakan sahaja dia.”

Kami mendoakan Allah SWT memberi kekuatan kepada Nad Zainal dan dia akan kembali pulih seperti sediakala. Semoga cepat sembuh!

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca