Parah Dibelasah Suami, Isteri Hamil Empat Minggu Dirawat Di ICU

Seorang wanita berusia 43 tahun yang kini sedang hamil empat minggu bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor setelah dipukul suaminya yang berusia 38 tahun pada 4 Mei yang lalu.

Mangsa yang merupakan seorang kakitangan awam Johor tersebut dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian rahang, tulang belakang, tulang rusuk yang retak serta tengkorak kepalanya sehingga terpaksa dibuang akibat pendarahan.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika mangsa berada di rumah pangsapuri di Larkin, Johor.

Adik mangsa, Fazariah mendakwa bahawa kakaknya telah dimasukkan ke ICU HSA setelah dihantar suaminya pada 4 Mei yang lalu.

Fazariah turut memaklumkan, dia menerima panggilan daripada abang iparnya itu pada keesokkan harinya (5 Mei) yang memberitahu bahawa kakaknya itu dimasukkan ke hospital akibat kecederaan.

Dalam panggilan telefon tersebut, abang iparnya itu turut memohon maaf kerana dia telah menolak kakaknya sedikit sebelum dia terjatuh.

Adik mangsa yang tiba di HSA dari Sungai Udang, Melaka itu sangat terkejut melihat keadaan kakaknya yang parah dengan wayar-wayar yang bersambung pada kepala dan badan kakaknya dan sedang tidak sedarkan diri.

Fazariah turut menjelaskan bahawa tengkorak kepala kakaknya terpaksa dibuang kerana berlakunya pendarahan pada otak.

Mangsa yang baru disahkan hamil empat minggu itu dikatakan mempunyai harapan yang tipis untuk pulih seperti sedia kala.

Punca pergaduhan kedua-dua pasangan tersebut tidak diketahui kerana adik mangsa mendakwa bahawa kakaknya jarang mengadu tentang hal-hal rumah tangganya.

Rakan sekerja mangsa turut memaklumkan bahawa dia kerap melihat kesan-kesan lebam pada bahagian muka dan tangan mangsa.

Fazariah menyatakan rasa kesalnya terhadap abang iparnya yang telah bersikap ganas kepada kakaknya itu dan telah membuat laporan di Balai Polis Larkin pada 6 Mei yang lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain melaporkan bahawa siasatan lanjut berhubungan kes tersebut sedang dijalankan dan pihak polis turut berusaha mengesan suspek.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” maklumnya.

Setakat ini, masih belum tangkapan yang dibuat dan segala perkembangan berkenaan kes tersebut akan dilaporkan dari semasa ke semasa.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca