Pangkalan Rahsia Tentera Amerika Syarikat Di Lautan Hindi, Ini Kisah Diego Garcia

Terdapat sebuah pulau batu karang kecil yang dinamakan Diego Garcia di tengah-tengah Lautan Hindi. Apa fungsinya?

Kami kongsikan tentang Diego Garcia yang kini dikenali ramai sebagai kawasan pangkalan rahsia tentera Amerika Syarikat menerusi artikel ini.

Kawasan pangkalan rahsia tentera Amerika Syarikat

Sumber: Business Insider

Terletak di lokasi terpencil, Diego Garcia merupakan kawasan yang sangat strategik untuk Amerika Syarikat membina pad pelancaran bagi operasi tentera di Timur Tengah.

Ia juga merupakan tapak isian semula minyak bagi pesawat-pesawat Tentera Udara yang menjalankan rondaan maritim di Laut China Selatan.

Sumber: Business Insider

Memetik laporan Business Insider, ia juga bertindak sebagai tempat pendaratan kecemasan untuk kapal-kapal yang menyertai misi-misi di angkasa lepas Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).

Lokasi kawasan ini sangat penting dan strategik untuk Amerika Syarikat membina sebuah pangkalan tentera untuk pelbagai operasi bagi mempamerkan kekuatan tenteranya di Timur Tengah, Asia Selatan, Asia ataupun Afrika.

Apa yang ada di Diego Garcia?

Sumber: Business Insider

Pulau terpencil di Lautan Hindi ini juga merupakan rumah kepada penyu, burung penghijrah gergasi dan ketam kelapa.

Terdapat kira-kira 3,000 sehingga 5,000 orang tentera yang menetap di Diego Garcia ketika ini. Sebahagian besar daripada mereka yang menetap di pulau ini adalah warganegara Amerika Syarikat dan ada juga dari United Kingdom.

Selain itu, terdapat juga orang awam yang menetap di pulau ini dan majoritinya adalah dari Mauritius di mana mereka bekerja sebagai tukang masak dan pekerja pembersihan untuk anggota tentera dan para pelayar.

Sumber: Business Insider

Terdapat kemudahan-kemudahan asas dan beberapa kompleks perniagaan di pusat bandar Diego Garcia yang biasa dapat dilihat di pekan-pekan kecil di Amerika Syarikat.

Anggota tentera yang menetap di pangkalan itu boleh bermain boling, berbasikal atau membeli-belah ketika waktu lapang mereka.

Berbeza dengan pangkalan tentera Amerika Syarikat di Guam, anggota tentera dipercayai tidak dibenarkan untuk membawa pasangan masing-masing ke Diego Garcia.

Pangkalan tentera paling hadapan Amerika Syarikat

Sumber: Business Insider

Pangkalan ini memainkan peranan utama ketika Amerika Syarikat melancarkan perang di beberapa buah negara seperti Afghanistan (2001 selepas peristiwa 9/11), Iraq (2003) dan Timur Tengah ketika Perang Teluk pertama pada tahun 1991.

Dikelilingi 60 atol, pantai Diego Garcia ini membentuk pelabuhan yang memiliki kedalaman semula jadi menjadikan ia lokasi paling sempurna untuk pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat.

Pelabuhan-pelabuhan juga mempunyai dasar laut yang dalam di mana ia mampu menerima kehadiran kapal pengangkut pesawat, kapal selam bertenaga nuklear dan kapal-kapal lain.

Terdapat beberapa kapal besar dalam keadaan bersedia di bahagian lagun pulau berkenaan yang diisi dengan senjata dan pelbagai keperluan seperti bahan api dan makanan untuk menampung operasi satu angkatan briged angkatan Tentera Laut.

Amerika Syarikat sewa pulau ini daripada British

Walaupun dikenali sebagai kawasan pangkalan rahsia tentera Amerika Syarikat, ramai orang tidak tahu bahawa Diego Garcia sebenarnya merupakan sebahagian daripada Wilayah Lautan Hindi British.

Pihak British mengambil keputusan untuk menyewakan pulau berkenaan kepada Amerika Syarikat pada tahun 1966 dan dilaporkan mula memindahkan semua penduduk Kepulauan Chagos yang dikenali sebagai Ilois dari tahun 1967 sehingga 1973 bagi membuka jalan kepada pembinaan pangkalan Tentera Udara Amerika Syarikat.

Secara ringkasnya, sebuah pulau batu karang kecil di tengah-tengah Lautan Hindi yang dikenali sebagai Diego Garcia itu berfungsi sebagai pangkalan rahsia tentera Amerika Syarikat.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca