‘Pancit’ Selepas Mengawan Dengan 5 Ekor Kucing Betina Dalam 1 Malam, Kucing Ini Terpaksa Dimasukkan Air Glukosa

Seekor kucing jantan terpaksa dimasukkan air glukosa gara-gara terlampau penat selepas mengawan dengan sekurang-kurangnya lima ekor kucing betina dalam satu malam.

Ketika kejadian, kucing baka Russian Blue yang diberi nama Xiaopi itu dilaporkan ditempatkan di sebuah hotel kucing dekat Sichuan, Beijing. Xiaopi bagaimanapun dipercayai dilepaskan dari kurungan oleh pekerja di hotel itu sekali gus menyebabkan ia mula ‘berkenalan’ dengan beberapa ekor kucing lain di situ.

‘Pergaulan’ antara Xiaopi dan kucing-kucing lain akhirnya beralih ke tahap seterusnya di mana ia dilihat mengawan dengan lima ekor kucing menerusi CCTV.

Pemilik kucing tersebut yang dikenali sebagai Zhao sangat terkilan dengan tindakan staf yang bertugas kerana melepaskan Xiaopi dari kurungan memandangkan dia telah memberitahu bahawa ia masih belum dimandulkan.

“Antara pukul 10.40 malam dan 5 pagi, kucing saya mengawan dengan lima ekor kucing betina. Itu hanya yang saya dapat tengok menerusi rakaman CCTV. Yang tidak dirakam, tak tahulah,” kata Zhao.

Kisah kucing itu menjadi tular di media sosial selepas Zhao meluahkan rasa kecewanya kerana pemilik hotel berkenaan mendesaknya untuk bertanggungjawab jika ‘mangsa-mangsa’ Xiaopi bunting.

Hal ini demikian kerana beberapa pemilik kucing lain (yang mengawan dengan Xiaopi) tidak berpuas hati memandangkan mereka memang tidak merancang untuk mempunyai ‘cucu’.

Zhao bagaimanapun tetap menegaskan bahawa kucing kesayangannya tidak bersalah kerana pekerja hotel itu sendiri yang membiarkannya terlepas.

“Kucing saya kini keletihan dan terpaksa dimasukkan air glukosa. Adakah ini salah saya?” katanya.

Difahamkan, selepas berbincang secara baik, pemilik hotel itu akhirnya meminta maaf dan menawarkan untuk membayar kos rawatan Xiaopi serta pampasan kepada pemilik kucing-kucing lain.

“Pemilik hotel berjanji untuk membayar pampasan 500 yuan (RM29) kepada pemilik kucing betina yang bunting dan sanggup menjual anak kucing itu bagi pihak mereka,” jelasnya.

Xiaopi kini pulih seperti biasa dan berada dalam keadaan stabil.

Artikel Lain Untuk Di Baca