Search
Close this search box.

Paksa Tahanan Makan Banduan Lain, Ini Kisah Gary Heidnik Yang Menjadi Inspirasi Watak Buffalo Bill

Gary Heidnik bukan sahaja menculik dan menyeksa malah merogol beberapa orang wanita di ruangan bawah tanah rumahnya di Philadephia. Dengan bantuan salah seorang mangsanya, Gary berjaya menculik lebih ramai wanita untuk dijadikan koleksi.

Latar belakang

Gary Heidnik dilahirkan di Ohio pada tahun 1943 dalam keluarga yang berantakan. Sejak kecil, Gary menghadapi masalah di mana dia sering terkencing pada katilnya. Disebabkan hal ini, Gary sering dimalukan oleh bapanya yang menyuruh lelaki itu menggantung cadar tersebut untuk menjadi paparan umum.

Semasa di sekolah tinggi, Gary merupakan seorang penyendiri. Sebaik sahaja tamat sekolah, dia mendaftarkan diri untuk menyertai angkatan tentera dan telah diterima untuk bekerja sebagai seorang jururawat dalam pasukan. Namun begitu, Gary terpaksa digugurkan berikutan dia didiagnos mempunyai masalah mental yang dikenali sebagai Schizoid Personality Disorder.

Gary mula bekerja sebagai seorang jururawat sebelum dia beralih ke arah hal keagamaan. Sejak itu, Gary telah menubuhkan persatuan gerejanya pada 1971. Kumpulan yang pada mulanya hanya dianggotai lima orang telah berkembang pesat hinggakan Gary mampu meraih hampir RM2 juta buat pengikutnya.

Gary menyedari bahawa dia mempunyai kelebihan untuk memanipulasikan seseorang. Dengan itu, Gary telah bertindak menggunakan kebolehannya untuk memerangkap wanita di dalam ruangan bawah tanah rumahnya.

Josefina Rivera

Mangsa pertama Gary adalah Josefina Rivera yang diculik pada 1986. Walaupun Gary telah menamakan wanita itu sebagai rakan subahatnya, penculikan wanita itu turut sama kejam seperti mangsa-mangsanya yang lain.

Josefina yang merupakan seorang pelacur diumpan ke rumah Gary selepas lelaki itu menjanjikan wang tunai sebagai ganti hubungan seks. Semasa Josefina sedang memakai semula pakaiannya, Gary telah mencekiknya dan menyeret wanita tersebut ke ruangan bawah tanah. Tangan dan kaki Josefina dirantai pada dinding.

Gary telah bertindak memukul Josefina dengan sebatang kayu sehingga wanita itu sudah tidak mampu menjerit kesakitan. Setelah puas, Gary mencampakkan Josefina ke dalam sebuah lubang gelap sebelum lubang tersebut ditutup dengan kayu.

Lima lagi wanita turut diculik oleh Gary dalam tempoh masa tiga bulan. Kesemua mereka turut dirantai, dihumban ke lubang gelap yang ditutup dengan kayu. Gary hanya akan mengeluarkan tahanannya sekiranya dia mahu melakukan hubungan seks dengan mereka atau mahu menyeksa mereka.

Dipaksa menjadi rakan subahat

Dalam satu temu bual bersama Josefina, wanita itu mendakwa dia mula memilih untuk berpihak pada Gary setelah sekian lama dikurung. Wanita itu berkata perkara ini berlaku kerana dia sudah menjadi mangsa Sindrom Stockholm.

Setelah Josefina berpihak padanya, Gary menjadikan wanita itu sebagai ketua kepada tahanan lain. Jika wanita itu menurut perintahnya, Gary akan memberikannya minuman coklat panas dan hot dog. Malah, Gary akan membenarkan Josefina untuk tidur di luar lubang gelap. Menurut Josefina lagi, dia tidak mempunyai pilihan lain jika mahu selamat kerana Gary menjadi sangat berbahaya jika perintahnya tidak dituruti.

Josefina menjelaskan sekiranya seorang tahanan menimbulkan rasa kurang senang pada Gary, tahanan tersebut tidak akan diberikan makanan selama beberapa hari. Selain itu, tahanan akan dibelasah dan diseksa dengan kejam. Kadangkala, Gary akan menutup mulut tahanan dengan pita pelekat sebelum perlahan-lahan memasukkan pemutar skru ke dalam telinga mangsa.

“Saya pernah membantunya menyeksa tahanan lain dengan cara membanjiri lubang dengan air sebelum melemparkan wayar eletrik hidup ke dalam air. Gary akan melihat sahaja saya melakukan perkara itu,” ujar Josefina.

Tambahnya lagi, seorang wanita bernama Deborah Dudley telah meninggal dunia akibat renjatan eletrik tersebut.

Paksa banduan lain menjadi kanibal

Kematian yang paling tragis yang berlaku di dalam lubang gelap tersebut adalah kematian Sandra Lindsay. Wanita itu merupakan seorang kurang upaya yang telah diculik Gary tidak lama selepas Josefina menjadi mangsa. Sandra tidak mampu menahan seksaan Gary yang kejam dan mati setelah beberapa hari tidak diberi makan.

Gary kemudiannya telah mengangkat mayat Sandra ke tingkat atas dan mula melapah mayat mangsa. Tulang rusuk mangsa dimasak di dalam ketuhar manakala tangan dan kakinya disimpan di dalam peti sejuk. Gary turut merebus kepala mangsa di atas dapur gas sebelum jirannya menelefon polis kerana menghidu sesuatu yang busuk dari rumah lelaki itu. Apabila disoal, lelaki itu berkata dia telah tidak sengaja memasak ayam sehingga hangus.

Tiga orang wanita lain yang sedang dihukum telah dihidangkan dengan makanan anjing oleh Gary. Makanan tersebut sebenarnya telah dicampurkan dengan cebisan daging Sandra yang telah dikisar lumat oleh Gary. Menurut seorang mangsa, Jacqueline Askins dia terpaksa menjamah makanan tersebut jika tidak mahu dibunuh oleh Gary.

Penahanan Gary

Walaupun Gary menamakan Josefina sebagai rakan subahatnya, wanita tersebut merupakan penyelamat buat mangsa lain setelah dia berjaya memperdayakan Gary.

Oleh kerana dia sering berbuat baik dengan suspek, Gary telah membenarkan Josefina keluar sebentar untuk bertemu keluarganya sambil Gary menunggu di sebuah stesen minyak. Namun begitu, wanita tersebut telah menelefon pihak polis sejurus dia hilang dari pandangan lelaki itu. Pihak polis segera tiba di lokasi dan memberkas Gary. Selepas empat bulan berada dalam neraka, kesemua mangsa Gary akhirnya bebas.

Legasi Gary Heidnik

Walaupun Gary mencuba untuk lari daripada hukuman mati atas alasan tidak siuman, lelaki itu tetap dijatuhkan hukuman pada Julai 1988. Lelaki itu telah cuba membunuh dirinya beberapa kali namun gagal. Malah, cubaan ahli keluarganya untuk mengeluarkan Gary daripada penjara turut menemui jalan buntu.

Akhirnya, pada 6 Julai 1999, Gary Heidnik dijatuhkan hukuman mati melalui suntikan maut sekaligus menjadikannya sebagai orang terakhir yang dihukum mati di daerah Pennsylvania.

Semasa Gary berada di dalam penjara, filem The Silence of The Lambs telah dihasilkan dan watak utama filem ini, Buffalo Bill adalah dicipta berdasarkan Gary Heidnik.

Walaupun Gary sudah dihukum mati, masih terdapat beberapa individu yang hadir ke rumahnya pada setiap hari ahad untuk upacara gereja. Kelihatannya, mereka tidak terkesan langsung dengan jenayah yang berlaku di dalam rumah tersebut.

Artikel Lain Untuk Di Baca