Seorang wanita berpangkat ibu sanggup memaksa anaknya menjalani pembedahan sehingga mengakibatkan kanak-kanak terbabit kini bergantung pada kerusi roda dan tiub untuk makan dihukum penjara baru-baru ini.
Kaylene Bowen-Wright, 36, menegaskan bahawa anak lelakinya, Christopher sebagai kanak-kanak berpenyakit semenjak dilahirkan pramatang. Wanita itu berkata anaknya mempunyai sejenis penyakit genetik yang jarang ditemui selain mempunyai kanser yang mengakibatkan Christopher hanya mempunyai beberapa bulan untuk hidup.
Christopher yang kini berusia lapan tahun sudah dibawa ke hospital pediatrik sebanyak 320 kali. Malah, wanita itu turut memaksa anaknya menjalani pembedahan sebanyak 13 kali walaupun Christopher tidak memerlukannya.
Salah satu pembedahan yang paling berisiko dijalankan ke atas Christopher adalah dengan memasukkan satu tiub makanan terus ke usus kecilnya. Akibat daripada perbuatan itu, Christopher kini berdepan pelbagai jangkitan pada darah yang boleh meragut nyawa.
Kaylene Bowen-Wright mengaku bersalah pada Ogos lalu kerana mendatangkan kecederaan serius kepada kanak-kanak dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun. Peguam bela Kaylene berkata wanita itu sebenarnya mengalami penyakit Munchausen yang menyebabkan Kaylene sering mencari perhatian hospital untuk membantu anaknya yang dikatakan sakit.