Pakatan Nasional, Kerjasama Politik Baharu?

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dalam satu sesi siaran langsung di laman Facebook beliau pada Sabtu mendakwa, satu gabungan baru akan ditubuhkan tidak lama lagi dan sekali gus akan membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

Pakatan tersebut dijangka akan disertai oleh ahli-ahli parlimen daripada UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sebahagian daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam SeMalaysia (PAS) serta parti-parti komponen dalam gabungan Barisan Nasional (BN). Satu majlis dikatakan akan diadakan untuk memeterai kerjasama tersebut pada Februari ini.

Menurut Lokman, keputusan mengenai kerjasama politik tersebut akan dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Februari ini. Dalam siaran langsung itu juga, Lokman berulang kali menegaskan penentangannya terhadap kerjasama politk tersebut.

Kerjasama politik baharu itu dikatakan akan mengekalkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan meletakkan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dr. Mahathir dikatakan akan mengekalkan jawatan Perdana Menteri sehingga ke satu masa yang akan ditetapkan kemudian.

Pada pilihan raya umum 2018, buat pertama kali dalam sejarah UMNO dan gabungan Barisan Nasional kehilangan kuasa di kerajaan persekutuan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Manakala semenjak tahun lalu, isu peralihan kuasa menjadi perbincangan hangat dengan sebahagian pemimpin PH menggesa peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditetapkan secepat mungkin. Gesaan tersebut menjadi semakin kuat selepas kekalahan PH pada pilihan raya kecil Tanjung Piai dan juga Kimanis.

Artikel Lain Untuk Di Baca