Pakar Ini Cadang Malaysia Guna Kaedah Vaksin Campuran Untuk Lawan Varian Delta

*Gambar di atas hanya sekadar hiasan. Sumber: mStar

Bagi melawan varian Delta yang seperti ‘liat’ ditewaskan ini, Profesor Madya Dr. Yahya Mat Arip menyarankan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan kaedah campuran vaksin kerana ia dijangka mampu membendung penularan jangkitan COVID-19 varian Delta sekiranya ia dilaksanakan di negara ini.

Hal ini demikian kerana kaedah itu dipercayai mampu memberi perlindungan lebih kepada penerima vaksin COVID-19.

Menerusi temu bual bersama Sinar Harian, pakar virologi Universiti Sains Malaysia (USM) itu menjelaskan bahawa kaedah campuran vaksin mampu menampung kekurangan yang ada pada setiap vaksin.

Sekiranya vaksin AstraZeneca digabungkan dengan Pfizer, ia akan memberi lebih perlindungan kepada penerima vaksin itu sendiri. Ini kerana kekurangan AstraZeneca dapat ditampung oleh Pfizer dan begitu juga sebaliknya.

Menurut Dr. Yahya lagi, Delta mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi berbanding varian lain sehingga keberkesanan setiap vaksin sedikit terjejas.

Jadi, beliau melihat mana-mana vaksin yang terjejas sedikit keberkesanannya (bukannya tidak berkesan) akan dapat ditampung oleh vaksin yang lain apabila menggunakan kaedah tersebut.

Walau bagaimanapun, cadangan ini perlu diteliti sehabis baik oleh pihak KKM. Tambah Dr. Yahya lagi, pihak KKM perlu memperoleh kajian atau dapatan data dari negara-negara yang sudah melaksanakan kaedah campuran vaksin untuk memberi gambaran yang lebih jelas sebelum ia digunakan di Malaysia.

Dalam pada itu, kadar kebolehjangkitan Delta mencecah 60 hingga 70 peratus lebih tinggi berbanding varian lain. Dalam erti kata lain, Delta adalah varian dominan COVID-19 di beberapa negara seperti England, Amerika Syarikat dan Rusia. Malaysia juga tidak terkecuali daripada diserang varian berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Apa pendapat anda tentang kaedah campuran vaksin?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan vaksin, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca