Pakar penerbangan mendakwa telah menemui lokasi nahas MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 bersama-sama dengan 239 orang penumpang di dalamnya.
Walaupun usaha pencarian berkenaan telah berjalan selama empat tahun dan menelan kos sebanyak $200 juta (kira-kira RM832 juta) merangkumi lebih dari 120,000 meter persegi, bangkai kapal terbang Malaysia Airlines ini masih tidak pernah ditemui dan telah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pakar.
Memetik laporan Daily Mail Online, pakar percaya Boeing 777 terjunam ke Lautan Hindi yang terletak berhampiran koordinat S34.2342 dan E93.7875 iaitu kira-kira 2,070 kilometer di luar pantai Perth dekat Australia Barat.

Sementara itu, jurutera Victor Ianello dan pasukannya yang berpusat di Amerika Syarikat tidak menafikan bahawa ‘terdapat kemungkinan’ bangkai pesawat berkenaan berada dalam jarak 100 batu nautika dari koordinat tersebut.
Victor yang turut sama terlibat dalam pencarian berkenaan dengan membantu pegawai Australia percaya pesawat itu terbang sejauh 4,340 kilometer melewati Indonesia sebelum ia terhempas.
Dalam pada itu, seorang lagi pakar penerbangan yang juga seorang bekas juruterbang iaitu Byron Bailey mendakwa bahawa operasi carian dilakukan di lokasi yang salah selama ini.
Tambahnya, operasi pencarian sepatutnya difokuskan kepada kawasan selatan Lautan Hindi. Byron turut mendakwa kawasan carian ini dilakukan pada lingkungan 30 kilometer dari lokasi ‘sebenar’ bangkai pesawat tersebut.

“Sekiranya jangkaan saya salah, ini bermakna pesawat berkenaan mungkin telah dirampas oleh makhluk asing atau ditempatkan di hangar dekat Kazakhstan.
Saya sanggup pertaruhkan segalanya termasuk rumah sebagai jaminan untuk maklumat berkenaan. Berdasarkan pengetahuan saya, kita sudah lama tahu lokasi sebenar bangkai pesawat berkenaan,” katanya.
Bagi yang masih keliru, pesawat penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.
Kehilangan pesawat MH370 masih menjadi misteri sehingga ke hari ini. Ini kerana pesawat itu bagaimanapun masih belum ditemui walaupun pelbagai spekulasi telah direkodkan.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan MH370, anda boleh klik pada pautan di bawah: