Dr.Rafidah Abdullah dan Dr.Amalina Bakri merupakan pakar perubatan yang lantang bersuara di media sosial berkenaan produk-produk kesihatan dan kecantikan yang semakin banyak dipasaran Malaysia.
Baru-baru ini Dr.Rafidah Abdullah yang merupakan pakar buah pinggang, memberi amaran kepada selebriti dan instafamous yang menjual produk kesihatan agar tidak menyebut tentang penyakit buah pinggang di dalam ulasan yang mereka lakukan.
“Jangan sekali-kali sebut perkataan buah pinggang dalam review anda,” tegas beliau menerusi akaun facebook miliknya.
Dakwanya, kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu, ramai yang dimasukkan ke hospital kerana percaya dengan golongan yang berpengaruh berkenaan.
“Yang ini dah masuk kawasan saya dan bagi pihak rakan-rakan, kami tidak benarkan sesiapa pun kata produk anda selamat untuk buah pinggang. You have no idea how many people landed in hospital. Yang terkena: sila simpan bukti dan beritahu doktor merawat untuk hubungi saya. Kita saman mereka ya.”
Katanya lagi, selebriti terlibat sepatutnya menanam rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dengan mengikut panduan yang ditetapkan.
“Harap semua selebriti tahu tatacara yang betul. Jangan bagi alasan tak munasabah. Saya tahu denda sedikit, tapi janganlah menipu masyarakat Malaysia. Tak rasa bersalah sedikit pun ke?,” ujarnya.
Sebelum ini beliau pernah berkongsi jenis penyakit yang tidak boleh disebut dalam produk yang dijual . Larangan itu telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Justeru itu, selebriti Malaysia diingatkan agar mematuhi panduan khas dalam pengiklanan produk kesihatan.
Sumber: Facebook Dr.Rafidah Abdullah