Pakaikan Lembu Cermin Mata Realiti Maya, Usaha Petani Turki Ini Agak Berbeza

petani turki

Seorang petani Turki memakaikan cermin mata realiti maya (VR) kepada lembunya dalam usaha meningkatkan hasil harian susu lembu ternakannya.

Izzet Kocak terpaksa membawa masuk lembu-lembunya ke dalam kandang akibat cuaca sejuk. Namun dia masih mahukan haiwan itu menganggap ia sedang bermain di atas padang rumput hijau yang segar.

Petani itu berkata, dia mendapat inspirasi menggunakan kaedah berkenaan daripada sebuah artikel berita mengenai lembu yang memakai cermin mata realiti maya di Rusia.

Izzet tertarik dengan idea tersebut lalu menghubungi syarikat yang membuat cermin mata khas untuk lembu dengan memesan beberapa beberapa set.

Menurutnya, lembu-lembunya semakin gembira dan menghasilkan lebih banyak susu selepas memakaikan cermin mata realiti maya itu.

“Saya mendapat purata 22 liter susu setiap hari daripada lembu ternakan. Ada dua lembu yang memakai cermin mata VR dan menonton padang rumput hijau yang luas sepanjang hari dan pengeluaran susu harian meningkat sehingga 27 liter.

“Cermin mata ini secara emosi baik untuk haiwan kerana membuatkannya kurang tertekan dan hasilnya dapat dilihat menerusi kuantiti pengeluaran serta kualiti susu,” katanya.

Dia sebelum ini memasang muzik klasik untuk 180 ekor haiwan ternakannya bagi meningkatkan emosi gembira dan membuatkannya berasa lebih santai.

Malah bercadang untuk membeli lebih banyak cermin mata itu bagi kegunaan lembu-lembunya.

“Buat masa ini, kami memakaikan cermin mata VR kepada dua lembu dan memerhatikan peningkatan pengeluaran susu.

“Kami kini dalam fasa percubaan pertama. Untuk peringkat kedua kami menempah 10 set cermin mata VR. Jika percubaan itu berjaya, kami memesan cermin mata untuk semua haiwan ternakan,” jelasnya.

Selain itu, dia turut memantau emosi dan tingkah laku lembu ternakannya dengan alat bantuan penjejakan dengan menerima data daripada cip yang dipasang pada buku lali lembu.

Difahamkan, keluarga Izzet mempunyai ladang menternak lembu sejak tiga generasi lagi. Perniagaan mereka bertahan lama kerana sentiasa berusaha mengikuti perkembangan zaman.

Oleh itu, kini gilirannya pula memastikan perniagaan keluarga berjalan dengan lancar untuk diteruskan kepada generasi akan datang.

Dia cuba menggunakan pelbagai pendekatan tidak konvensional seperti kaedah yang dibuat ini.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca