Pak Harun, ‘Pendengar Ikan’ Terakhir Di Malaysia

Perlahan-lahan lelaki warga emas ini menenggelamkan tubuhnya ke dalam air sambil salah satu tangannya berpaut pada bibir perahu. Mata dan telinganya terbuka luas untuk ‘mendengar’ bunyi ikan dalam laut.

Ini kisah Harun Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Harun, dipercayai merupakan ‘pendengar ikan’ terakhir yang masih wujud di Malaysia. Kaedah dan seni menangkap ikan yang unik ini sudah jarang diamalkan.

Pak Harun bersama anak buahnya. Sumber gambar: South China Morning Post

Sejak kecil, anak jati Kampung Gong Batu, Terengganu ini begitu meminati laut. Beliau dikatakan sanggup memonteng sekolah semata-mata mahu menyelam untuk melihat ikan.

Ceritanya kepada beberapa organisasi media, ilmu ini tak ada dalam buku dan kena belajar sendiri dengan ikan melalui amali yang harus selalu diamalkan.

Pak Harun dan anak-anak buahnya menyelam sekitar 13 hingga 15 kali setiap kali ke laut. Para pendengar ikan mampu mendengar ‘nyanyian sekumpulan ikan’ ini sejauh 3km tetapi mengambil masa bertahun-tahun untuk praktis skil ini. Ketepatan untuk mengamati bunyi ikan ini turut dipengaruhi oleh arus dan angin.

Gambar Hiasan. Sumber: Pixabay

Katanya kepada wartawan Sinar Harian, “Kebanyakan ikan ada mengeluarkan suara tersendiri, mungkin dari pernafasan mereka. Begitu hebat ciptaan ALLAH SWT ini,”

“Bila kamu dengar, ia seolah-olah biasan kaca jadi kamu boleh nampak ikan kembung dan sardin.” katanya pula dalam petikan laporan Daily Mail.

“Ikan-ikan ini bukan bodoh dan mereka boleh lihat anda datang. Apabila dengar bunyi bot, ikan ini akan ‘menjerit’ suruh kawan-kawannya lari.” ujarnya lagi.

Gambar Hiasan. Sumber: Pixabay

Kru Pak Harun terdiri daripada 12 orang dan mereka pergi dengan empat buah bot laju. Setelah mengesan keberadaan ikan, Pak Harun akan angkat bendera kepada bot-bot sebagai isyarat untuk mengikutinya sebelum melabuhkan pukat.

Pak Harun fokus kepada penangkapan ikan gelama kerana spesies ini mengetuai sekumpulan ikan di laut. Beliau berkata bahawa suara ikan gelama senang didengari dalam keadaan sunyi walaupun dalam jarak lebih 500 meter.

“Ikan gelama ini seolah-olah ibu atau raja ikan kerana jika ada gelama, ikan-ikan lain akan ikut sekali tetapi gelama agak liar untuk ditangkap berbanding ikan lain,” katanya lagi.

Tonton klip video dokumentari tentang ‘Pendengar Ikan’ ini di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca