Paderi Amerika Bunuh Perempuan Simpanan, Ini Kisah Hans Schmidt Yang Dihukum Mati

Pada awal 1900-an, seorang lelaki telah mencipta sejarah apabila dia menjadi paderi katolik pertama yang dijatuhkan hukuman mati di Amerika Syarikat. Jenayah yang dilakukannya cukup kejam dan terlalu banyak sehingga pihak media berpusu-pusu mahu membongkar kisahnya.

Ini kisah Paderi Hans Schmidt telah didapati bersalah berkahwin secara haram, menghamilkan, membunuh dan mengerat mayat perempuan simpanannya, Anna Aumuller. Jenayah kejam ini didapati dilakukan kerana bimbang kehamilan Anna diketahui oleh wakil-wakil gereja yang lain.

Latar belakang

Hans Schmidt merupakan seorang anak yang aneh. Dilahirkan di Aschaffenburg, Jerman pada 1881, Hans sering menghabiskan masanya dengan melihat lembu dan babi diproses di sebuah rumah penyembelihan. Hans juga telah menunjukkan minat terhadap ritual Roman Katolik dan sering berpura-pura menjadi paderi.

Pada umur 25 tahun, impian Hans menjadi nyata apabila dia ditabalkan menjadi seorang paderi di Jerman. Selama empat tahun, dia berkhidmat di sebuah gereja di negara ibundanya namun akibat perselisihan faham, Hans telah dipindahkan ke gereja lain.

Pada 1908, Hans telah berpindah ke St. John’s Parish di Louisville, Kentucky. Satu perselisihan faham antara Hans dan seorang pemimpin Katolik telah berlaku mengakibatkan dia sekali lagi dipindahkan ke Gereja St. Boniface di selatan Manhattan, New York. Di sinilah di mana Hans telah berjumpa dengan Anna Aumuller yang secara kebetulan baru diambil kerja di gereja itu sebagai pembantu rumah.

Hans dan Anna mula menjalinkan hubungan sulit sebelum lelaki itu terpaksa berpindah setelah pihak gereja mengetahui akan hal tersebut. Namun begitu, ia tidak menjadi halangan buat pasangan kekasih berkenaan. Pada 26 Februari 1913, Hans yang merupakan 10 tahun lebih tua daripada kekasihnya telah mengahwini Anna dalam satu majlis rahsia yang disahkan oleh dirinya sendiri.

Namun perkahwinan tersebut tidak bertahan lama.

Pembunuhan Anna Aumuller

Pada akhir tahun 1913, Anna telah memberitahu Hans bahawa dia disahkan hamil. Berita yang sepatutnya disambut gembira oleh Hans selaku bapa kepada bayi dalam kandungan Anna ternyata merupakan mimpi ngeri buat lelaki itu. Dek kerana risau perkara itu diketahui pihak gereja Katolik, Hans telah merancang untuk menghapuskan Anna dan bayinya.

Pada 2 September tahun yang sama, Hans telah bertindak mengelar leher Anna dengan pisau pemotong daging yang berukuran 12 inci. Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di sebuah pangsapuri di Manhattan yang telah disewa Hans buat kekasihnya itu.

Setelah Anna mati, Hans memenggal kepala Anna dengan sebilah gergaji. Badan Anna juga dikerat dua. Hans membalut setiap bahagian badan kekasihnya itu dengan surat khabar bertarikh 31 Ogos. Bahagian bawah badan Anna pula disumbat ke dalam sarung bantal yang mempunyai monogram huruf ‘A’.

Hans kemudiannya membawa potongan badan Anna untuk dibuang di Sungai Hudson. Demi memastikan bahagian tersebut tidak akan ditemui, Hans telah menggantung beberapa batu yang digelar syis untuk menenggelamkan Anna ke dasar sungai tersebut.

Pembongkaran jenayah

Beberapa hari kemudian, dua orang kanak-kanak di New Jersey telah menemukan bahagian atas badan Anna di gigi Sungai Hudson. 4 kilometer di bahagian bawah sungai pula, seorang lelaki yang sedang membawa anjingya berjalan menemui bahagian bawah badan Anna yang berada di dalam sarung bantal.

Hasil siasatan mendapati Anna telah melahirkan bayi pramatang beberapa hari sebelum dia dibunuh. Syis yang digunakan untuk menenggelamkan bahagian badan Anna juga merupakan sejenis batu yang jarang dijumpai di kawasan tersebut.

Berpandukan sarung bantal ‘A’ yang menjadi bukti utama selain daripada mayat Anna, polis telah berjaya mengesan pangsapuri Anna yang berada di Manhattan. Sebaik tiba di lokasi, tuan rumah telah memberitahu bahawa unit pangsapuri tersebut telah disewakan kepada seorang paderi bernama Hans Schmidt. Lelaki itu kemudiannya terus membawa pihak polis ke dalam kediaman tersebut.

Apabila pintu dibuka, pihak polis dikejutkan dengan keadaan rumah tersebut. Dinding dan lantai dipenuhi dengan percikan darah. Terdapat kesan seperti seseorang mencuba untuk membersihkannya namun gagal. Polis turut menemukan sebilah pisau pemotong daging dan sebilah gergaji di dalam sebuah bagasi. Turut ditemukan sebuah bagasi lain yang dipenuhi surat yang ditulis oleh Hans buat Anna.

Inspektor Faurot dan rakannya telah pergi ke Gereja St. Joseph di mana Hans bekerja. Dalam beberapa minit sahaja, Hans telah mengaku mengahwini dan membunuh Anna Aumuller.

Paderi Hans Schmidt dijatuhkan hukuman mati menggunakan kerusi eletrik pada 18 Februari 1916 sekali gus menjadi paderi Katolik pertama yang dihukum mati dalam sejarah Amerika Syarikat.

Jenayah lain

Kes jenayah yang dilakukan paderi Hans Schmidt mendapat liputan yang meluas oleh pihak media. Disebabkan itu, wartawan-wartawan telah mencuba mencari cara lain untuk menceritakan kisah Hans. Perkara ini telah membawa kepada pembongkaran beberapa jenayah lain yang mungkin dilakukan oleh Hans Schmidt.

Hans ternyata mempunyai sebuah lagi pangsapuri di Manhattan. Sebuah mesin pencetak wang turut ditemui di dalam rumah tersebut. Menurut seorang penyiasat, Hans dan seorang doktor gigi merancang mahu melakukan pembunuhan sebelum mengambil duit insurans mangsa.

Selain itu, mayat seorang gadis berusia sembilan tahun ditemui di ruangan bawah tanah Gereja St. John di Louisville. Mayat kanak-kanak itu turut berada dalam keadaan sama seperti mayat Anna Aumuller. Kanak-kanak tersebut telah dilaporkan hilang semasa Hans bekerja di gereja tersebut. Namun, seorang tukang cuci disabitkan kesalahan atas pembunuhan kanak-kanak tersebut.

Terdapat sebuah lagi kes lama di negara kelahiran Hans di mana seorang kanak-kanak perempuan turut dibunuh. Namun begitu, polis Jerman tidak sempat untuk menyoal siasat Hans berikutan dia sudah dihukum bunuh di Amerika Syarikat.

Artikel Lain Untuk Di Baca