Padah Tersalah ‘Like’, Selebriti K-Pop Choi Siwon Dikecam Warganet China

Seorang selebriti Korea Selatan menjadi sasaran kecaman warganet di China selepas dia menekan butang ‘like’ pada satu posting di laman Twitter mengenai isu bantahan prodemokrasi di Hong Kong.

Menurut laporan AFP, Choi Siwon yang menganggotai kumpulan popular K-Pop, Super Junior digesa untuk membuat satu permohonan maaf selepas penyanyi dan pelakon itu telah menekan butang ‘like’ pada posting yang dimuat naik oleh akhbar Korea Selatan, The Chosun Ilbo.

Walau bagaimanapun, Choi Siwon, 33, telah ‘unlike’ posting terbabit yang memaparkan temu bual bersama Chow Pak-kwan yakni seorang penunjuk perasaan yang ditembak polis trafik pada jarak dekat pada 11 November lalu.

Pada Ahad lalu, selebriti terkenal itu sudah membuat satu permohonan maaf di akaun Weibo miliknya.

“Memandangkan kontroversi yang dicetuskan ini begitu mengecewakan kamu semua, dengan seikhlas hati saya memohon maaf,” tulis selebriti itu kepada 16.5 juta pengikutnya.

Selain itu, Choi Siwon juga menyuarakan harapannya agar protes ganas di Hong Kong itu akan berakhir dalam masa terdekat.

Protes yang berlaku di Hong Kong sudah bermula pada bulan Jun ekoran bantahan terhadap rancangan untuk membenarkan ekstradiksi dilakukan ke negara China.

Kerap kali, pertembungan antara pihak polis dan penunjuk perasaan berlaku dan kini, protes sudah mula menunjukkan tanda-tanda keganasan berlaku.

Difahamkan, pihak berkuasa tempatan sudah mula menembak peluru hidup. Manakala penunjuk perasaan pula menyerang balas anggota polis dengan melontarkan bom petrol.

Artikel Lain Untuk Di Baca