Bekerja memang meletihkan. Tambahan lagi jika tugas yang diberikan melibatkan nyawa dan kesihatan seseorang manusia. Pada tahun 2017 yang lalu, dua orang jururawat didapati bersalah atas kecuaian dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai perawat pesakit mental.
Kejadian tersebut berlaku apabila pesakit bernama Lauren Ellis, 22 tahun ditemukan mati gantung diri dalam sebuah ruangan unit keselamatan di sebuah hospital sakit jiwa, Guernsey.
Jururawat kepada pesakit itu bukan sahaja cuai malah didapati tidak amanah kerana enggan melaksanakan pemeriksaan ke atas Lauren Ellis seperti yang telah dijadualkan kepadanya.
Mangsa berusia 22 tahun itu sepatutnya diperiksa setiap 15 minit sekali, namun siasatan mendapati bahawa enam pemeriksaan terakhir sebelum kejadian tersebut tidak dijalankan oleh perawat berkenaan.
Kedua-dua jururawat bernama Rory McDermott, 32 dan Naomi Prestidge, 31 tahun telah ditahan oleh pihak berkuasa sejurus selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ditonton.
Berdasarkan tontonan terhadap rakaman CCTV berkenaan, pihak berkuasa mendapati bahawa kedua-dua jururawat itu duduk di dalam ruangan kakitangan bersebelahan dengan bilik pesakit dalam jangka masa lama sambil melunjurkan kakinya ke atas meja.
Jelasnya lagi, mereka juga melayari internet untuk merancang percutian di Hard Rock Hotel Tenirife menerusi telefon mudah alih masing-masing. Selain itu, kedua-dua jururawat ini juga dilihat memainkan lagu menerusi telefon berkenaan.
Menerusi rakaman tersebut, kedua-dua suspek ini kelihatan panik dan bertindak membuat laporan pemantauan kesihatan palsu sejurus selepas mayat Lauren Ellis ditemukan. Walau bagaimanapun, kedua-dua jururawat ini menafikan kecuaiannya sewaktu perbicaraan berlangsung.
Malah, salah seorang daripadanya mendakwa bahawa Lauren telah tertidur pada jam 1 pagi sewaktu dia datang memeriksa pesakit itu. Kemudian dia terus beralih ke wad seterusnya untuk membantu rakan kerja lain.
Tambahan lagi, seorang daripada perawat ini dikhabarkan sempat menerima panggilan daripada ibu mangsa yang berpesan untuk kerap memeriksa keadaan anaknya. Bagaimanapun, Rory bertindak untuk tidak memaklumkan pesanan tersebut kepada Prestidge.
Berdasarkan laporan perubatan, mangsa merupakan pesakit yang mengalami gangguan keperibadian emosi. Lauren kemudiannya dimasukkan ke dalam wad tersebut untuk mendapatkan rawatan rapi berhubung cubaan bunuh diri yang dilakukan oleh mangsa sebanyak 5 kali sebelum 6 hari selepas kejadian dia disahkan mati.
Pengajarannya, laksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab agar kecuaian lebih-lebih lagi melibatkan nyawa manusia tidak berlaku.