Pablo Escobar Menyeludup Masuk 4 Ekor Badak Air Ke Dalam Zoo Peribadi Sehingga ‘Menyusahkan’ Negara

Pada tahun 1993, Pablo Escobar maut ditembak oleh Polis Kebangsaan Colombia. Penjenayah prolifik dan bos besar Kartel Medellin itu membina empayar kokain dan kekayaan di atas darah ribuan individu yang dibunuhnya.

Walaupun raja dadah itu sudah lama pergi, legasi pembunuh peninggalannya masih ada iaitu sekumpulan badak air yang membiak tanpa dapat disekat.

Badak air merupakan haiwan herbivor yang agresif dan berbahaya. Penulis pernah terbaca yang buaya pun takut nak datang dekat dengan mamalia ini kerana gigitannya mampu buat buaya tersebut terbelah dua. Badak air juga menyebabkan banyak kes kematian penduduk berlaku di Afrika.

Badak air di Colombia

Sewaktu masih hidup dan berada di puncak kekayaan, Escobar memiliki satu estet yang luas saujana mata memandang. Di situ, dia membina rumah agam kediaman keluarganya termasuk zoo peribadi.

Pada sekitar tahun 1980-an, Escobar menyeludup masuk empat ekor badak air (seekor jantan, tiga ekor betina) ke dalam zoo miliknya yang menempatkan ratusan haiwan eksotik seperti gajah, kuda belang dan zirafah.

Selepas kematian Escobar, semua haiwan di dalam zoo tersebut naik kapal untuk dipindahkan ke seluruh dunia kecuali badak air sekeluarga. Badak air ditinggalkan di estet itu kerana kos penghantarannya mahal.

Haiwan berkenaan keluar dari estet dan berkubang di tasik-tasik dan sungai berhampiran. Dari empat ekor badak air berkembang biak menjadi 50 ekor. Tambahan pula badak air di situ tiada pemangsa untuk mengawal populasinya dan binatang lain tidak berani cari fasal dengan mereka.

Ada di antara badak air ini masuk ke kebun dan memusnahkan tanaman. Ada juga yang terlepas masuk ke bandar dan sekolah sehingga mencetuskan panik di kalangan orang awam. Setakat ini, tiada serangan atau kes kematian dilaporkan berlaku.

Terserempak dengan tiga ekor badak air berkeliaran merupakan perkara biasa bagi penduduk tempatan. Malah badak air lebih banyak ditemui berbanding babi ternakan di kawasan tersebut.

Saintis turut menyuarakan kebimbangan mereka terhadap ekosistem sungai di Colombia kerana sisa-sisa buangan badak air ini mungkin menyebabkan kandungan nutrien air tinggi, membawa kepada pengembangan alga yang mengaut oksigen dalam air dan boleh membunuh ikan.

Pihak kerajaan telah mengusahakan pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah badak air ini. Mereka cuba mulakan program perburuan namun tiada siapa yang mahu membunuh badak air tersebut apatah lagi memakannya sebab takut mendapat penyakit kusta.

Selain itu, kerajaan turut cuba mandulkan badak air jantan tetapi itu juga bukan kerja mudah kerana mamalia itu amat sensitif dengan bahan kimia terutama dadah. Testikel pula tersembunyi di dalam badannya yang besar.

Sehingga kini, kerajaan Colombia masih ‘berperang’ dengan populasi badak air tinggalan Pablo Escobar ini.

Artikel Lain Untuk Di Baca