Benarkah bahawa semua orang di dunia ini sebenarnya ialah orang yang sama, tetapi kerap mengubah penampilan mereka? Kali ini, kami kongsikan tentang sindrom Fregoli.
Sejarah
Sumber: Medical Bag
Sindrom ini pertama kali dilaporkan oleh P. Courbon dan G. Fail pada tahun 1927. Terdapat sebuah perbincangan dalam laporan tersebut tentang seorang wanita yang berusia 27 tahun (pada masa itu) yang percaya bahawa dua pelakon wanita kegemarannya yang sering dia tonton di teater itu menyamar menjadi rakannya, majikannya dan juga orang asing.
Dalam erti kata lain, wanita itu menganggap bahawa pelakon wanita tersebut menyamar menjadi seseorang yang wanita tersebut kenal.
Sindrom Fregoli dinamakan bersempena seorang pelakon Itali, Leopold Fregoli yang terkenal dengan kebolehannya untuk mengubah penampilan atas pentas dalam masa yang singkat.
Penghidap sindrom Fregoli percaya bahawa semua orang di dunia ini merupakan orang yang sama tetapi kerap mengubah penampilan mereka dan mempunyai wajah yang berbeza.
Dalam erti kata lain, penghidap sindrom Fregoli percaya bahawa semua orang di sekeliling mereka merupakan orang yang sama tetapi menyamar untuk menjadi orang lain.
Orang di sekeliling penghidap sindrom Fregoli juga mempunyai penyamaran yang amat meyakinkan di mata penghidap sindrom tersebut.
Pada masa yang sama, mereka percaya bahawa orang lain mempunyai niat buruk terhadap mereka dan hendak mengapa-apakan diri mereka ataupun ingin menghendap mereka.
Perbezaan antara sindrom Fregoli dan sindrom Capgras
Sumber: Massaie Moderne
Terdapat juga kes di mana penghidap sindrom Fregoli percaya bahawa orang yang sama menyamar menjadi objek yang lain.
Penghidap sindrom Capgras pula percaya bahawa seseorang yang mereka kenali ataupun orang yang mereka berinteraksi dengan setiap hari telah digantikan oleh seorang penyamar.
Contohnya, salah seorang penghidap sindrom Capgras percaya bahawa suaminya ialah orang lain yang menyamar menjadi suami pesakit tersebut.
Terdapat juga kes di mana orang yang mengalami sindrom Capgras ini menganggap bahawa haiwan, objek, ataupun rumah juga merupakan seorang penyamar. Sindrom Capgras seringkali dikaitkan dengan penyakit Alzheimer ataupun demensia.
Sindrom Capgras dinamakan bersempena dengan Joseph Capgras, seorang pakar sakit jiwa dari Perancis. Capgras bersama seorang rakan sekerja beliau telah menghuraikan tentang sindrom tersebut pada tahun 1923.
Kedua-dua sindrom ini mempunyai persamaan daripada segi penghidap sindrom tersebut mengalami delusi bahawa identiti orang, objek ataupun tempat telah diubah. Kedua-dua sindrom ini juga merupakan sindrom yang jarang ditemui.
Gejala
1. Percaya bahawa orang yang berbeza merupakan orang yang sama.
2. Percaya bahawa orang lain mempunyai niat buruk terhadap mereka dan ingin mengapa-apakan mereka.
3. Tidak dapat berhubung dengan realiti.
4. Kemungkinan mempunyai memori yang tidak benar tentang setiap acara, barang ataupun tempat.
Rawatan
Sekiranya seseorang itu disahkan mempunyai sindrom Fregoli, kemungkinan besar dadah yang akan diberikan untuk merawat sindrom tersebut.
Dadah seperti anti psikotik, anti-depresan dan ubat anti-epilepsi mungkin digunakan untuk merawat gejala sindrom Fregoli.
Trifluoperazine digunakan untuk merawat gangguan mental ataupun gangguan emosi yang khusus (skizofrenia, gangguan psikotik). Ini kerana Trifluoperazine membantu pesakit untuk berfikir dengan lebih jelas, rasa kurang gelisah dan rasa kurang tertekan untuk menjalani kehidupan seharian.
Kesimpulannya, walaupun sindrom Fregoli ini jarang ditemui, tetapi tidak mustahil untuk kita ataupun orang sekeliling kita akan mengalami sindrom ini.
Dapatkan bantuan kerana anda tidak bersendirian. Untuk lebih memahami sindrom Fregoli ini, para pembaca boleh menonton video di bawah.