Orang Ramai Digalakkan Pakai Pelitup Muka Kain – WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengubah pendiriannya sekali lagi terhadap isu pemakaian pelitup muka sejak tercetusnya wabak COVID-19 hujung tahun lalu.

Semalam, pertubuhan itu memperbaharui garis panduan mereka iaitu meminta supaya orang ramai memakai pelitup muka kain di ruang awam yang mempunyai risiko jangkitan COVID-19 dalam usaha untuk meminimumkan penularan virus itu.

Garis panduan terbaharu itu berdasarkan bukti saintifik dapatan kajian yang dijalankan sejak beberapa minggu yang lalu.

Walau bagaimanapun, WHO menekankan bahawa pelitup muka hanya merupakan satu daripada pelbagai alat lain bagi membantu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan ia tidak sepatutnya membuat orang ramai terlalu selesa.

“Pelitup muka sahaja tidak akan melindungi anda daripada COVID-19,” tegas Ketua Pengarah WHO iaitu Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada wartawan.

Dr. Maria Van Kerkhove

Pakar teknikal WHO berhubung COVID-19 iaitu Dr. Maria Van Kerkhove berkata kepada Reuters bahawa WHO menasihatkan pihak kerajaan untuk menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka.

“Kami bercakap khususnya tentang pelitup muka kain yang bukan untuk tujuan perubatan.

“Kami mempunyai hasil kajian baharu.

“Kami mempunyai bukti bahawa sekiranya ia dilakukan dengan betul, ia boleh menjadi benteng yang menghalang titisan air yang mungkin berjangkit,” ujar Maria.

Terdahulu, WHO memberitahu bahawa pihaknya masih tidak mempunyai bukti yang mencukupi berkaitan pemakaian pelitup muka di ruang awam.

Pertubuhan itu sebelum ini hanya menggalakkan pelitup muka perubatan dipakai oleh individu yang bergejala serta petugas yang merawat mereka.

Terbaharu, Britain telah mewajibkan pemakaian pelitup muka buat semua penumpang bas, kereta api, pesawat dan feri di England bermula pada 15 Jun.

Untuk baca artikel lain berkenaan pelitup muka, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca