Memiliki gigi yang tampak putih bersih merupakan idaman setiap orang. Gigi yang putih juga menggambarkan seseorang itu sangat menjaga kebersihan dan penampilan diri mereka. Maka tidak hairanlah kenapa servis memutihkan gigi muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Namun, tahukah anda suatu ketika dahulu di Jepun, memiliki gigi berwarna hitam menjadi idaman setiap wanita? Bunyinya agak pelik tetapi ia adalah kenyataan. Memiliki gigi yang diwarnakan dengan warna hitam dianggap sebagai satu simbol kecantikan bagi wanita di Jepun. Amalan ini dikenali sebagai Ohaguro.
Budaya Ohaguro ini dikatakan sudah wujud seawal era Kofun lagi. Ia dapat dibuktikan melalui penemuan tulang dan gigi menandakan amalan ini sudah diamalkan sejak sekian lamanya. Amalan ini turut dinyatakan beberapa kali dalam catatan-catatan sejarah termasuklah Genji Monogatari, buku popular dari abad ke-12 di mana ia dianggap sebagai novel pertama di dunia.
Malah, banyak catatan sejarah menunjukkan amalan kecantikan ini masih diamalkan pada era berikutnya iaitu era Heian. Pada awalnya, setiap lelaki dan wanita remaja dalam lingkungan umur 15 tahun akan mewarnakan gigi mereka sebagai tanda mereka sudah menginjak ke alam dewasa.
Pada penghung era Heian, amalan ini dikatakan sangat popular dalam kalangan wanita daripada golongan aristokrat (bangsawan), terutamanya mereka yang masih muda dan sudah bersedia untuk berkahwin. Malah, kaum lelaki turut mewarnakan gigi mereka.
Menariknya, amalan Ohaguro ini pernah diharamkan sewaktu pemerintahan Maharaja Meiji pada tahun 1870. Pengharaman tersebut menyebabkan budaya ini hampir pupus ditenggelami zaman. Pada masa kini, amalan ini masih lagi diamalkan oleh segelintir orang Jepun terutamanya Geisha untuk acara-acara tertentu.
Pasti anda semua tertanya-tanya, kenapa mereka memilih untuk mewarnakan gigi mereka dengan warna hitam? Selain dianggap cantik, terdapat beberapa sebab lain mengapa amalan ini diamalkan masyarakat dahulu kala. Mereka percaya, warna gigi yang kekuningan yang dianggap mencacatkan senyuman wanita dapat disembunyikan apabila diwarnakan dengan warna hitam.
Selain itu, bahan-bahan yang digunakan untuk mewarnakan gigi mereka dipercayai dapat memberi perlindungan tambahan kepada gigi seperti halangan daripada pembentukan kaviti dan menguatkan gusi. Mereka yang mengamalkan amalan ini selalunya terdiri daripada golongan atasan. Malah, samurai juga dikatakan melakukannya sebagai bukti taat setia kepada tuan atau ketua mereka.
Sejenis larutan yang dikenali sebagai kanemizu digunakan bagi mewarnakan gigi. Ia dihasilkan daripada campuran serbuk besi, cuka, teh dan wain beras. Campuran kesemua bahan ini akan menghasilkan larutan hitam yang kemudiannya disapu pada gigi.
Walaupun larutan tersebut dikatakan sangat efektif bagi mewarnakan gigi, ia mempunyai bau yang kurang menyenangkan. Larutan ini juga dikatakan hanya bertahan pada gigi selama beberapa hari sahaja. Mereka yang mengamalkan amalan ini perlu mewarnakan kembali gigi mereka setelah warnanya luntur.
Kesimpulannya, kecantikan itu subjektif. Mungkin majoriti berasakan bahawa gigi bewarna hitam itu kelihatan kotor tetapi siapa sangka ia merupakan simbol kecantikan bagi orang Jepun.