Nyaris Maut Dibelasah Kekasih Sendiri, Gadis Ini Mengalami Kecederaan Pada Bahagian Otak

Seorang remaja, Megan Mc Partlin berusia 18 tahun nyaris maut dibelasah kekasihnya, Aaron Worthington semasa menyambut malam tahun baru 2019.

Kejadian tersebut berlaku pada jam 5 pagi sewaktu mereka berada di kediaman Megan. Menurut gadis ini, mereka berdua berada dalam keadaan mabuk ketika itu, namun keseronokan bertukar menjadi tragedi apabila dia secara tiba-tiba dipukul dan ditumbuk oleh kekasihnya.

Akibat daripada serangan itu, Megan tidak dapat berjalan berikutan pendarahan pada bahagian kepala dan muka kanannya. Mangsa seterusnya pengsan dan tidak tahu apa yang berlaku. Namun, selepas sahaja dia sedarkan diri, Aaron tidak bertindak untuk menghubungi ambulan. Malah lelaki itu bersungguh mengatakan Megan ‘dramatik’.

Keberuntungan masih menyebelahi Megan apabila jirannya datang dan menelefon pihak ambulan. Aaron kemudiannya ditangkap selepas keluarga Megan menghubungi pihak polis. Pelaku kini telah mendapatkan balasan setimpal dengan hukuman penjara selama 27 bulan selepas mengaku bersalah mencederakan seseorang tanpa niat yang disengajakan.

Walau bagaimanapun, gadis ini tidak berpuas hati dengan hukuman yang diberikan kepada bekas kekasihnya. Baginya, ia tidak setara dengan kesakitan dan nilai nyawanya yang hampir hilang.

Laporan kesihatan menyatakan bahawa Megan mengalami tiga kecederaan dan keretakan pada bahagian otak serta tengkorak kanannya. Sebagai usaha untuk menyelamatkan gadis ini, pembedahan selama lima jam dilakukan bagi membuang dan menggantikan serpihan tengkorak yang pecah dengan plat logam baharu.

Setelah tujuh bulan kemudian, mangsa memaklumkan bahawa dia masih merasakan kesakitan di bahagian kepalanya. Kecederaan yang dialami telah memberi kesan terhadap segenap aspek kehidupannya.

Jelasnya lagi, dia kadangkala berasa sukar untuk mengingat kembali perkataan yang telah disebutkan. Selain itu, deria rasa dan bau Megan turut berubah dan tidak seperti dulu. Namun begitu, gadis ini bersyukur kerana masih berkesempatan untuk diselamatkan dan hidup di dunia.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca