Novelis Legenda Ini Pernah Popular Suatu Ketika Dahulu

Benarkah cinta dapat mengubah perangai seseorang itu dari pelesit menjadi baik?

Mungkin itulah yang terjadi kepada Kasyah setelah Ayu hadir dalam hidupnya.

Buku kompilasi ‘Budak Setan’ ini merupakan salah satu karya nukilan Ahadiat Akashah. Beliau merupakan novelis tersohor tanah air pada era 1990-an. Pada waktu itu, mungkin ada di antara kita yang masih berada di bangku sekolah, universiti, bermain Barbie doll atau baru lahir dan pernah membesar dengan novel-novel tulisan beliau.

Siapa tidak kenal Ahadiat Akashah

Pemilik nama penuh Ahadiat Akashah Bin Khairuddin Akashah ini dilahirkan pada 11 April 1965. Bapanya merupakan bekas pengarang berita-berita luar negeri RTM.

Anak jati Kuala Lumpur ini diasuh dengan dunia buku oleh pak ciknya, Marwilis Haji Yusof (seorang penulis terkenal). Ahadiat membantu pak ciknya mengedar buku-buku sebelum mengikuti kursus intensif pengeditan novel di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bagi Ahadiat, pakciknya merupakan insan pertama yang mengesan bakat beliau dan memberi kepercayaan dengan menerbitkan novel sulungnya, ‘Budak Setan’. Novel tersebut meletup di pasaran sekali gus melonjak naik namanya.

Pada tahun 1995, Ahadiat menubuhkan rumah penerbitannya sendiri dan menjadi penulis indie terawal di Malaysia.

Nama Ahadiat Akashah tidak asing lagi dalam persada penulisan novel terutama di peringkat remaja. Novel-novelnya menjadi kegilaan dan siulan anak-anak muda ketika berada puncak kegemilangan. Beliau dikatakan penulis prolifik sehingga tercatat dalam Buku Rekod Malaysia dan terkaya di Malaysia serta pelbagai anugerah lagi diraih pada masa itu.

Detik kejatuhan

Dunia ini ibarat roda dan amat menyakitkan apabila tayar pancit dan tiada spare. Keuntungan dan kejayaan yang pernah dilakar mula menuntut harga daripada novelis terkenal ini. Satu per satu cerita panas melingkari hidupnya seperti muflis, naik turun mahkamah dan ditipu rakan. Saya tak nak tulis panjang-panjang hal itu kerana tidak mahu entri ini bertukar menjadi novel yang menyedihkan.

Bangkit semula

Semasa jatuh terduduk, isteri, anak-anak dan keluarga Ahadiat berdiri teguh di sisinya. Kadang-kadang apa yang memberi makna dan terpateri dalam ingatan kita bukanlah pencapaian, kekayaan material dan motor besar Harley-Davidson tetapi dengan siapa kita jumpa, sayang, benci dan rindu.

Setelah melalui pancaroba hidup yang perit dan mendakap ujian daripada Allah, akhirnya beliau mendapat keinsafan dan kesedaran melalui pengalaman pahit yang dihadapi seperti yang ditulis dalam blog peribadinya.

Semoga Ahadiat Akashah terus menjadi hero watak utama dan mengukir cerita hidupnya sehingga berakhir dengan kebahagiaan. Insya-Allah.

Lagi kisah tentang Ahadiat Akashah:

Sumber:
E-SENTRAL, Wikipedia, MAJALAH WANITA MAC 1995, Victoria Institution

Artikel Lain Untuk Di Baca