Novel Ranjau Sepanjang Jalan Diiktiraf Antarabangsa

Novel Ranjau Sepanjang Jalan (1966) yang diterbitkan oleh Utusan Melayu dianggap sebagai kemuncak kejayaan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad sebagai seorang novelis sehingga nama beliau terkenal di pe­ring­kat antarabangsa.

Ranjau Sepanjang Jalan mendapat sanjungan sarjana antarabangsa seperti A. Teeuw, A. H. Johns, Harry Aveling, H.B. Jassin, Achdiat Karta Mihardja, Umar Junus, Edwin Thumboo dan David J. Banks apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Adibah Amin dengan judul ‘No Harvest But A Thorn’.

Novel ini turut diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun, Swedish, Rusia, Belanda dan Iceland.

A. H. Johns dalam penelitiannya menyebut novel ini menyerlahkan visi Shahnon iaitu manusia dalam alam yang tidak ada belas kasihan, tercipta daripada tanah di bumi, terkutuk untuk hidup dan menjadi gila oleh kemungkaran yang terpaksa ditempuhnya.

The Sydney Morning Herald, Australia (9 Disember 1972) menempatkan novel ini sebagai satu daripada sepuluh no­vel yang memikat hati untuk tahun 1972.

Begitu juga perhatian yang diberikan oleh sarjana tempatan seperti Profesor Ismail Hussein, Mana Sikana, Mohd. Yusof Hassan, Ahmad Kamal Abdullah, Kassim Ahmad, Adibah Amin, Md. Salleh Yaapar dan Alis Murni.

Tun Abdul Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia pernah menggelar Shahnon Ahmad sebagai ‘Victor Hugo Me­layu’ kerana perhatiannya yang rapi terhadap pende­ritaan dan kemiskinan petani-petani Melayu seperti digambarkannya dalam Ranjau Sepanjang Jalan.

Ranjau Sepanjang Jalan mengisahkan kehidupan keluarga Lahuma dan isterinya Jeha bersama tujuh orang anak gadis mereka iaitu, Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah yang berjuang menguruskan sawah mereka sebanyak 14 relung sebagai satu kepentingan utama dalam kehidupan mereka. Walaupun untuk satu musim hasil padi tidak boleh terkurang, padi menjadi segala-galanya, hidup mati mereka semuanya bergantung kepada hasil padi.

Novel ini juga memaparkan keperitan petani kecil yang menjadi mangsa kepada penguasa seperti ketua kampung yang bersikap pentingkan diri dan terlalu berkira dengan anak-anak buah seperti keluarga Lahuma dan Jeha.

Karya Shahnon ini mempamerkan kebencian kepada kapitalis-kapitalis yang berperut buncit menindas petani sepanjang hayat, pegawai-pegawai awam yang hanya memburu kehidupan mewah dan pegawai-pegawai divisyen satu yang hidup berpura-pura membela nasib petani tetapi hakikatnya tidak pernah merasai jerih perih nasib golongan itu yang berjuang mencari se­suap nasi.

Diharapkan semakin ramai penulis yang mampu untuk menghasilkan karya sehebat tulisan Shahnon Ahmad ini.

Artikel Lain Untuk Di Baca